Perlis Dalam Fasa Pengurangan Kos Operasi ?

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sekali lagi menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila mereka telah menamatkan kontrak pemain import dari Singapura, Faris Ramli atas persetujuan bersama. Perkara ini dilihat sebagai langkah pengurangan kos operasi bagi meringankan beban yang ditanggung pasukan.

Keputusan PFA untuk melepaskan Faris ini dilihat sebagai satu bahan jenaka oleh para peminat dan pada masa yang sama, mereka mempersoalkan kredibiliti pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana memberikan satu slot Liga Perdana 2019 kepada pasukan Perlis.

Sebelum melepaskan Faris, PFA terlebih dahulu melepaskan penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman bagi menyertai Pulau Pinang. Sebelum ini, Zafuan diumumkan sebagai pemain pasukan Perlis.

Minggu lalu, presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie mengumumkan persatuan itu kehilangan empat penaja besar susulan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai yang dihadapi oleh pasukan ketika ini.

Dengan kekurangan dana dalam persatuan itu disebabkan oleh penaja yang menarik diri, menamatkan kontrak beberapa nama besar terutamanya pemain import dilihat sebagai langkah pengurangan kos yang perlu dilakukan bagi meringankan beban persatuan.

Satu perkara lagi yang menjadi tanda tanya ialah mampukah PFA menyelesaikan tunggakan gaji sedia ada dan membayar gaji pemain bagi saingan musim ini. Harus diingat musim ini Perlis akan diwakili oleh beberapa pemain berprofil tinggi seperti Safee Sali dan Badhri Radzi.

Setelah mengumumkan penamatan kontrak Faris, PFA menerusi media sosial rasmi pasukan, Perlis Northern Lions mengumumkan pasukan itu menandatangani tiga pemain import.

Tiga pemain import yang dimaksudkan ialah Valci Junior dan Wellington Cirino Priori dari Brazil serta Masaki Watanabe dari Jepun.

Baca Juga: Apa Nasib Pemain Perlis Selepas Ini ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *