Perlis Mahu Jadi Pasukan Pencabar
- Liga Perdana
- Jan 6, 2019
- No comment
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal berkata Perlis Northern Lions mahu menjadi pasukan pencabar dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.
Biarpun ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan kenaikan mereka ke saingan Liga Perdana, namun Perlis tidak ambil peduli dengan segala kritikan dan sudah menetapkan sasaran bagi saingan musim 2019 iaitu menjadi pencabar kepada pasukan besar yang lain.
“Kita baru melakukan proses transformasi, jadi boleh dianggap sebagai pasukan baharu. Jadi, keseluruhan pemain juga dianggap sebagai pemain baharu.
“Misi kami seterusnya adalah mahu layak ke Liga Super musim depan. Tiada tekanan sebab bagi saya Perlis adalah satu pasukan yang baru bermula.
“Jadi, kita menghormati kesemua pesaing kita dalam Liga Perdana dan kita bermula daripada kosong. Perlis juga sedia buktikan bahawa kita memang layak untuk bermain di Liga Perdana,” kata Ahmad Faizal menurut laporan Berita Harian.
Ramai pihak mengecam tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memberikan satu slot Liga Perdana kepada Perlis kerana pasukan itu menghuni tangga tercorot Kumpulan B saingan Liga FAM musim lalu.
Sepatutnya pasukan yang mara ke separuh akhir atau yang menamatkan kedudukan lebih tinggi daripada pasukan Perlis diberi peluang untuk bersaing di kancah divisyen kedua liga tempatan itu, dengan syarat mereka wajib melunaskan gaji bekas pemain musim lalu.
Tambah Ahmad Faizal, keputusan MFL untuk menyekat geran tahunan PFA sehingga persatuan itu menyelesaikan semua masalahnya, tidak mematahkan semangat pasukan memberikan persembahan positif selepas 10 musim ‘menghilang’ daripada liga utama negara.
“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana bagi peluang kepada Perlis untuk bermain di Liga Perdana.
“Kita sedang berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain lama. Jadi apabila MFL meletakkan syarat menahan geran tahunan (sehingga menyelesaikan tunggakan gaji) kita tidak mahu mengalah dan lari daripada masalah,” katanya.
Baca Juga: Bagaikan Satu Penderaan – Piya