Perlis Perlu Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) perlu menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sekiranya mereka mahu kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam dimana beliau menegaskan tiada peluang kedua buat Perlis dan mereka tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain dalam ­mana-mana liga jika tunggakan gaji pemain belum diselesaikan.

“Kita sedia maklum, Perlis memang sudah tersingkir daripada sai­ngan Liga Malaysia (Liga M) apabila keputusan muktamad telah diputuskan sebelum ini.

“Jika PFA mahu mendaftar pa­sukan dalam mana-mana liga sekali pun, mereka perlu selesaikan segala isu yang berkait terlebih dahulu.

“Buat masa ini, pendaftaran mereka dalam mana-mana piramid liga memang tidak boleh diterima jika pasukan masih bergelut dengan masalah yang dihadapi,” katanya menurut laporan Kosmo.

Pasukan Perlis sebelum ini telah digugurkan daripada saingan Liga Perdana musim ini pada 20 Februari lalu selepas PFA gagal memberikan bukti serta dokumen kewangan yang kukuh kepada MFL.

Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati PFA tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup bagi memastikan mereka bertahan sehingga musim 2019 melabuhkan tirainya.

Pada masa yang sama, Kevin turut menjelaskan keputusan berkaitan geran tahunan membabitkan Perlis hanya akan diketahui pada 15 Mac ini selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat nanti.

“Berkaitan geran untuk pasukan Perlis, ia perlu menunggu keputusan daripada Ahli Lem­baga Pengarah yang akan mengadakan mesyuarat nanti,” ujarnya.

Setelah disingkirkan daripada saingan Liga Perdana, PFA kemudiannya menghantar rayuan bagi membolehkan mereka kembali beraksi dengan menghantar dokumen sokongan kepada MFL. PFA juga menyatakan mereka mempunyai penaja yang bersedia untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai sekiranya kembali dibenarkan beraksi.

Namun, Ahli Lembaga Pengarah mereka memutuskan untuk menolak rayuan yang dihantar oleh PFA kerana persatuan itu tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh badan pengelola Liga Malaysia itu.

PFA bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan mereka tidak akan berputus asa dan akan menghantar rayuan sekali lagi.

Baca Juga: PFA Mahu Saman Ahmad Amizal

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *