Perlukan Seorang Lagi Penyerang Import Atau Tidak ?
- Liga Super
- May 3, 2018
- No comment
Apabila penyerang import Pahang, Francis Forkey Doe mengalami kecederaan yang memerlukan beliau untuk direhatkan bagi satu tempoh masa yang lama, peminat Pahang mula risau dengan ketiadaan Doe dalam kesebelasan utama. Akan tetapi, ketiadaan Forkey Doe seperti tidak dirasai apabila Patrick Cruz beraksi dengan baik setakat ini.
Gandingan Patrick Cruz dan Forkey Doe sememangnya menjadi buat pasukan Pahang pada awal musim ini. Namun, apabila Doe mengalami kecederaan, tugas sebagai penggempur utama digalas seterusnya oleh Patrick Cruz. Pada awalnya beliau dilihat sedikit bergelut kerana ketiadaan Doe disisi.
Namun, semenjak Patrick menjaringkan hatrik ketika Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim dalam saingan suku akhir Piala FA bulan lalu, beliau seakan-akan tidak merasai ketiadaan Forkey Doe di sisi beliau. Patrick berjaya menjaringkan 3 gol dalam 2 perlawanan terakhir Liga dan menjadikan beliau penjaring terbanyak disamping Rufino Segovia, Yahor Zubovich dan Kipre Tchetche.
Jadi, adakah Pahang memerlukan seorang lagi penyerang import untuk digandingkan dengan Patrick Cruz di hadapan ? Penulis berpendapat mereka tidak memerlukannya. Ini kerana Patrick dilihat sudah serasi digandingkan dengan pemain tempatan di bahagian serangan.
Setakat ini, Dollah meletakkan R.Kogileswaran dan Wan Zaharulnizam sebagai pasangan untuk Patrick dalam dua perlawanan terakhir Liga. Dan gandingan beliau bersama Kogi dan Wan Zaharulnizam mampu untuk menjaringkan gol serta memberi ancaman kepada benteng pertahanan lawan.
Satu lagi sebab mengapa penulis merasakan Pahang tidak perlukan seorang pemain import untuk digandingkan dengan Patrick adalah penyerang tempatan Pahang terutamanya R.Kogileswaran telah membuktikan bahawa mereka mampu untuk mengisi tanggungjawab sekiranya diberi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama.
Walau apa pun, jika Patrick Cruz berjaya mengekalkan rentak semasa beliau, maka perlumbaan untuk mahkota kejuaraan akan ditentukan sehingga ke hari terakhir Liga Super. Tidak mustahil juga kita bakal melihat juara baru Liga Super dalam tempoh lima musim kerana kualiti yang dimiliki oleh pasukan Pahang adalah antara yang terbaik dalam saingan Liga Malaysia.
Baca Juga: Pahang Terlalu Bagus Buat Terengganu FC