Persaingan Hebat Bagi Menjadi Nombor Satu
- Harimau Malaya
- Oct 31, 2018
- No comment
Persaingan bagi merebut posisi penjaga gol nombor satu negara kini kian rancak apabila tiga penjaga gol, Farizal Marlias, Hafizul Hakim dan Khairul Fahmi Che Mat bakal bersaing sesama sendiri bagi merebut posisi tersebut.
Untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki kali ini, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilihat mahu menggunakan pemain senior bagi mengawal pintu gol negara. Beliau sebelumnya memanggil pemain muda, Haziq Nadzli dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Namun memutuskan untuk menggunakan pemain senior.
Tiga penjaga gol yang dipanggil dalam 26 senarai awal sudahpun memiliki pengalaman yang luas bersama pasukan negara. Farizal dan Khairul sudah mewakili Malaysia sejak dari usia muda manakala Hafizul Hakim menjadi pilihan sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Jika kita melihat kepada pencapaian ketiga-tiga penjaga gol dalam saingan Liga Super musim ini, Farizal dan Hafizul tampil lebih baik berbanding Khairul Fahmi dimana Farizal mengutip 13 clean sheets manakala Hafizul pula mengutip 7 clean sheets.
Sumber Gambar: JST
Dalam saingan Piala Malaysia pula, Hafizul tampil lebih baik berbanding Farizal dan Khairul dimana beliau mempunyai 6 clean sheets manakala Farizal hanya mempunyai 3 clean sheets dan Khairul mempunyai 1 clean sheets.
Tan Cheng Hoe sudah pasti pening dalam menentukan siapa yang akan diturunkan sebagai penjaga gol nombor satu negara kerana ketiga-tiga penjaga gol telah menampilkan aksi yang cemerlang sepanjang musim 2018.
Jika melihat dari segi pengalaman, Farizal dan Khairul Fahmi merupakan calon yang sesuai. Jika melihat kepada prestasi semasa, Hafizul merupakan calon yang sesuai kerana beliau baru saja membantu Perak memenangi Piala Malaysia 2018 dan beraksi cemerlang ketika penentuan sepakan penalti.
Apa yang pasti, penjaga gol yang bakal diturunkan nanti perlu beraksi dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan pintu gol negara daripada dibolosi.
Apa pendapat anda mengenai persaingan diantara Farizal Marlias, Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim bagi merebut tempat sebagai penjaga gol nombor satu pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki nanti ? Penjaga gol mana yang lebih layak ?
Baca Juga: Peluang Brendan Gan Dan Faiz Nasir Sudah Tertutup