PFA Hantar Rayuan Kepada MFL

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menghantar rayuan kepada pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan pasukan Perlis kembali dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

PFA yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan tiba di di ibu pejabat MFL pada jam 2.30 petang semalam bagi menyerahkan dokumen sokongan seperti surat tajaan, kewangan serta perancangan rapi bagi musim 2019.

Menurut Abdul Karim, beliau berharap pihaknya dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menarik semula keputusan menggugurkan Perlis dari saingan Liga Perdana bagi membolehkan pasukan itu kembali beraksi.

“Syukur Alhamdulilah pada hari ini kita dapat tunaikan janji kita kepada pihak MFL sebagaimana diberikan tempoh untuk kita serahkan dokumen-dokumen berkaitan dengan tempoh rayuan.

“Sebenarnya hari ini kita bertemu MFL untuk serahkan dokumen berkenaan tajaan, kewangan dan perancangan kita berserta dengan dokumen surat sokongan untuk dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi pertimbangan kita bermain semula di Liga Perdana 2019,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Minggu lalu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk menggugurkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Perdana setelah pengurusan pasukan itu menghadapi masalah kewangan yang serius dan dianggap tidak mampu bertahan sehingga penghujung musim 2019.

Pada masa yang sama, Abdul Karim menambah masalah tunggakan gaji pemain yang beraksi bersama pasukan musim ini akan diselesaikan jika hukuman ke atas Perlis dibatalkan. Jika rayuan mereka ditolak oleh MFL, maka PFA akan mencari jalan alternatif bagi menyelesaikan masalah sedia ada.

“Berdasarkan apa yang kita persetujui bersama penaja, jika pihak MFL memberi kebenaran untuk kita terus bermain di Liga Perdana 2019, Perlis bersama penaja baharu yakin semua tunggakan gaji 2018 dan 2019 akan diselesaikan.

“Sekiranya MFL mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Perlis, kita akan berbincang balik dengan pihak MFL sebab kita terima maklumat baru-baru ini ada peluang untuk kita dapatkan semula geran tahunan daripada MFL dan tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu adalah mahu menyelesaikan tunggakan gaji,” ujarnya.

Penaja baru skuad Singa Utara dikhabarkan pernah menaja beberapa pasukan yang beraksi dalam saingan Piala FAM sebelum ini iaitu Hanelang FC dan Terengganu City FC. Jika benar, maka penaja yang dimaksudkan ialah Tulangis Group.

Baca Juga: Pemain Perlis Buat Laporan Polis Terhadap PFA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *