PFA Mahu Hantar Rayuan Sekali Lagi

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) enggan berputus asa dan akan menghantar rayuan sekali lagi kepada badan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Rayuan yang akan dihantar untuk kali kedua ini dilihat sebagai jalan penyelesaian terakhir dalam usaha pasukan Perlis untuk terus hidup dalam saingan Liga Malaysia.

Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dan mengharapkan MFL serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mempertimbangkan rayuan yang akan dihantar sekali lagi oleh PFA.

“Saya tidak dapat zahirkan perasaan tentang keputusan ini kerana kami terlalu harapkan (keputusan baik) selepas berusaha dalam tempoh tujuh hari untuk beri apa yang MFL minta, berbanding dua bulan diusahakan presiden sebelum ini.

“Cerita ini pun kita sudah beritahu secara terperinci kenapa dan mengapa ia terjadi…. atas sebab individu dan pastinya ia sesuatu yang berat jika hukuman ini jatuh kepada persatuan.

“Sekarang kita tidak ada masa rehat dan kita akan cuba sehabis baik untuk selesaikan perkara ini kerana harapan kami serta penyokong cukup besar. Kita akan buat (rayuan) kali kedua. Kalau sempat esok, kita akan hantar esok dan kalau tidak, ia mungkin akan dibuat Isnin ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah mereka memutuskan untuk menolak rayuan yang dihantar oleh PFA kerana persatuan itu tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh badan pengelola Liga Malaysia itu.

Menurut Abdul Karim, hujah yang akan dibawa kepada MFL selepas ini ialah berkenaan kebajikan pemain yang masih setia bersama pasukan.

“Apabila penyingkiran ini berlaku, kita perlu lihat di bawah kami masih ada pemain dan jurulatih yang sudah bersama kita. Walaupun sudah diberi peluang oleh MFL untuk cari pasukan baharu tetapi ianya bukan mudah kerana setiap pasukan (lain) juga ada implikasi kewangan mereka sendiri.

“Setiap pasukan ada perancangan mereka sendiri jadi bagi saya memang kami perlu diberi pertimbangan secara menyeluruh. Peminat juga ada hubungi saya untuk terus beri sokongan dan mereka tahu situasi kami sambil mengharapkan ada sesuatu yang baik selepas ini,” tambahnya.

Baca Juga: Ahli Lembaga Pengarah MFL Tolak Rayuan MFL

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *