PFA Makin Tenat!

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) semakin tenat apabila baru-baru ini mereka dikhabarkan gagal untuk menjelaskan bayaran sewa tempat latihan yang digunakan oleh para pemain dan hanya menunggu masa untuk dihalau keluar.

Sejak menjalani perubahan secara menyeluruh sebelum musim 2019 bermula, skuad Singa Utara memilih untuk berlatih di Kuala Lumpur dan menggunakan fasiliti milik Universiti Malaya iaitu UM Arena sebagai pusat latihan pasukan.

Menurut seorang sumber yang sebelum ini berkhidmat bersama PFA, pemain Perlis bukan sahaja menggunakan padang malah fasiliti yang lain seperti tempat penginapan.

“Pemain Perlis memang berlatih di Universiti Malaya (UM). Bukan sahaja berlatih, tempat penginapan dan lain-lain pun di sini. Jadi disebabkan pihak universiti tidak menerima sebarang bayaran mereka hanya beri tempoh sehingga 15 Februari. Jika tidak dapat bayaran mereka tidak dibenarkan lagi menggunakan fasiliti di sini,” katanya menurut laporan Sukan Sinar.

Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan ada beberapa pemain yang sah akan meninggalkan pasukan sebelum tarikh perpindahan pemain ditutup pada 20 Februari ini.

Tambah sumber itu lagi, walaupun ramai pemain yang mahu meninggalkan pasukan, namun masih ada segelintir pemain yang berharap ada jalan penyelesaian dan mereka mendapat gaji seperti yang dijanjikan.

“Setakat ini yang saya tahu memang ada empat, lima pemain yang akan keluar. Ada pemain senior dan ada juga pemain muda yang pilih untuk tinggalkan pasukan.

“Saya juga dengar mereka tunggu sehingga lawan Johor Darul Ta’zim II untuk buat keputusan terakhir. Tapi kesian juga sebab masih ada pemain yang masih megharap untuk menerima gaji.

“Lagipun, pemain-pemain juga fikir, dimana mereka mahu pergi. Keadaan dah semakin suntuk dan rata-rata pasukan pun dah ada pemain mereka sendiri,” tambahnya.

Keadaan PFA yang semakin tenat ini menyebabkan peminat bola sepak tanah air mempersoalkan keputusan Pengelola Liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membenarkan pasukan Perlis beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Dengan isu tunggakan gaji pemain yang masih belum diselesaikan, PFA kini semakin terdesak bagi memastikan pemain sedia ada mempunyai padang latihan untuk berlatih.

Baca Juga: Tiada Pemain Terlibat Dengan Bookie – PFA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *