PFA Semakin Terdesak
- Liga Perdana
- Jan 31, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) semakin terdesak untuk menyelesaikan tunggakan gaji apabila baru-baru ini penyerang mereka, Safee Sali menggesa pengurusan pasukan untuk mengotakan janji yang mereka tabur dengan melunaskan tunggakan gaji pemain sebelum bermulanya sepak mula Liga Perdana 2019.
Gaji yang dimaksudkan oleh Safee bukanlah gaji pemain yang mewakili pasukan sebelumnya melainkan gaji pemain bagi saingan musim 2019. Menurut Safee, beliau kini masih menunggu untuk pihak pengurusan membayar gaji beliau serta rakan sepasukan.
“Seperti yang dijanjikan, mereka akan melunaskan pembayaran itu sebelum bulan depan. Saya masih menunggu dan mengharapkan sesuatu akan dilakukan menjelang hujung bulan ini,” kata Safee menurut laporan Stadium Astro.
Melihat kepada keadaan ini, biasanya hanya ada satu situasi yang akan berlaku. Pengurusan pasukan tidak akan menepati janji mereka dan tunggakan gaji pemain akan berlanjutan untuk bulan seterusnya.
Mengapa penulis berpendapat sedemikian ? Ini kerana Perlis telah kehilangan empat penaja besar yang sebelumnya berminat untuk menaja tetapi pada minit-minit terakhir mengundurkan diri kerana persatuan itu berdepan dengan isu tunggakan gaji.
Sudah pasti kantung kewangan persatuan menghadapi masalah dan kegagalan untuk membayar dua bulan gaji kepada pemain terkini menjadi indikasi bahawa mereka tiada wang yang cukup untuk menguruskan pasukan apatah lagi membayar gaji pemain.
Tunggakan dua bulan gaji ini nyata membuatkan persatuan semakin terdesak dimana PFA juga belum melangsaikan tunggakan gaji pemain yang beraksi bersama pasukan Perlis Northern Lions 2. Meskipun mereka memberi jaminan akan menyelesaikan hutang itu pada bulan Mac nanti, namun situasi semasa yang terjadi membuatkan para peminat berasa sceptical dengan janji tersebut.
Kini ramai pihak tertanya-tanya mengenai maklum balas yang akan diberikan oleh pihak PFA. Adakah mereka segera membayar gaji pemain yang tertunggak ataupun terus menabur janji serta memberikan pelbagai alasan tentang kelewatan pembayaran gaji tersebut.
Meskipun begitu, Perlis akan memulakan saingan Liga Perdana 2019 dengan menentang pasukan UKM FC pada 3 Februari nanti.
Baca Juga: Perlis Super League Meriahkan Revolusi Bola Sepak Perlis