(Piala Dunia) Bagaimana Jordan Pickford Menjadi Penjaga Gol No.1 England!
- Piala Dunia
- Jul 9, 2018
- No comment
Reputasi dan profil penjaga gol England, Jordan Pickford telah melonjak pada Piala Dunia ini. Pemain berusia 24 tahun itu telah meneruskan persembahan heroiknya dalam penentuan sepakan penalti menentang Kolombia di pusingan 16 pasukan terakhir dengan persembahan cemerlang pada pagi Sabtu untuk membantu pasukan Gareth Southgate mengalahkan Sweden lalu mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia pertama mereka selama 28 tahun.
Dalam tempoh satu tahun, dia telah maju dari tersingkir dari Liga Perdana Inggeris bersama kelab Sunderland kepada menjadi penjaga gol nombor satu England yang tidak boleh dipertikaikan.
Jadi bagaimana pemain yang sekarangnya menjadi penjaga gol kelab Everton muncul sebagai komponen utama pasukan England yang berada 90 minit dari final Piala Dunia pertama mereka sejak tahun 1966?
Pickford, yang pernah bermain untuk Southgate di peringkat bawah-21 England, telah disasarkan oleh Southgate untuk menjadi penjaga gol nombor satunya sebelum Piala Dunia ini – tetapi dia hanya bermain 156 perlawanan liga dalam kariernya.
Dia menjadi terkenal pada bulan Jun 2017 ketika Everton membayar £ 30 juta kepada Sunderland untuk khidmatnya. Everton dengan gembiranya memenuhi permintaan harga perpindahan Black Cats untuk Pickford dan mereka melihat pemain itu sebagai pelaburan serius untuk masa depan kelab mereka.
Pickford telah membuktikan bahawa dia bersedia untuk keluar dari kepompong dan belajar di persekitaran yang paling sukar sebelum bermain di Liga Perdana. Ia merupakan satu pengalaman penting yang telah membentuk wataknya yang yakin dan kuat yang kita sedang saksikan di Rusia.
Dia telah mengilatkan permukaan-permukaan kasar dalam permainannya ketika bermain di liga bawahan England bersama Darlington dan Alfreton. Corak permainan di liga bawahan England itu langsung tidak memberi belas kasihan kepada pemain muda seperti Pickford. Dia telah mengingat kembali akan pengalaman dia ketika itu dengan berkata,”Banyak yang saya belajar ketika dihentam teruk oleh pemain-pemain yang berbadan lebih besar dari saya ketika itu. Apabila anda hendak menangkap tendangan silang, anda akan diasak teruk.”
“Anda akan pergi bermain di tempat lawan dan mendengar teriakkan yang kurang menyenangkan dilemparkan kepada anda. Saya teringat ketika berada di Southport dan saya pergi untuk mengambil air di tepi padang, ada satu peminat yang menjerit – ‘datuk anda di bawah rumput itu!’. Saya pusing menghadapnya, memberinya isyarat bagus dengan tangan dan berkata ‘no problem’ (tiada masalah). ”
Pickford, juga pernah bermain Burton, Carlisle, Bradford dan Preston, mempunyai saiz badan yang agak kecil untuk seorang penjaga gol. Dia agak pendek untuk penjaga gol moden dengan ketinggian 6 kaki 1 inci. Namun begitu tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkan keberaniannya.
Dengan kelincahan dan keanjalan yang begitu baik yang telah ditunjukkan ketika berkhidmat dengan England di Rusia telah membuat kebimbangan tentang ketinggiannya hilang dari perhatian peminat dan kritik.
Apabila Pickford kembali dari pengembaraannya dengan kelab-kelab kecil kepada Sunderland, dia memasuki kembali sebuah kelab yang sedang berada dalam terjunan bebas dari Liga Perdana kepada Liga Satu Inggeris. Walaupun dia memperolehi perpindahan ke Everton dengan harga yang besar dia menghadapi jalan yang tidak mudah.
Dia merupakan pemain terbaik Sunderland ketika mereka diturunkan dari Liga teratas pada 2016-17, menyelamatkan 135 percubaan dari 185 cubaan tepat pada sasaran oleh pihak lawan dengan nisbah purata 72.97%.
Perpindahan ke Everton di bawah pengurusan Ronald Koeman ketika itu, sepatutnya menjadi permulaan kehidupan yang bertekanan tinggi dengan mungkin lebih sedikit penyelamatan yang perlu dibuat di peringkat elit untuk Pickford.
Namun Everton, mengalami kejatuhan yang amat cepat di bawah pengendalian pengurus dari Belanda itu sebelum digantikan oleh Sam Allardyce. Tetapi dalam satu musim yang penuh kesengsaraan yang hampir tidak berkesudahan, Pickford merupakan pemain terbaik Everton.
Persembahan yang ditunjukkan bersama Everton telah berjaya memujuk Southgate menjadi pelawat tetap ke perlawanan Everton musim lepas, dan Pickford telah diberi penampilan sulungnya untuk bertemu dengan Jerman di Wembley pada November 2017 sebelum dipilih sebagai penjaga gol Piala Dunia England di Rusia.
Everton’s end-of-season awards were a Pickford procession as he picked up Player Of The Season, Young Player Of The Season and Players’ Player Of The Season.
Anugerah individu pada akhir musim Everton merupakan perarakan kemenangan buat Pickford. Dia memenangi anugerah Pemain Terbaik, Pemain Muda Terbaik, dan Pemain Terbaik Pilihan Pemain-pemain Everton.
Kejayaan untuk membawa Pickford ke Everton merupakan kejayaan yang jarang berlaku untuk pengarah bola sepak Everton Steve Walsh yang telah dipecat.
Everton memerlukan penjaga gawang dan Pickford adalah pilihan pertama dan satu-satunya pilihan untuk Walsh. Dia berusaha keras untuk menandatanganinya kerana dia takut kelab Real Madrid mungkin berminat dan sanggup membayar dua kali apa yang mampu dibayar oleh Toffees. Yuran £ 30 juta Pickford mula kelihatan murah sekarang.
Pickford, di bawah kendalian jurulatih penjaga gol England, Martyn Margetson – yang juga bersama dengannya di Everton, sebelum meninggalkan kelab itu di penghujung musim – kini menjadi pemimpin kepada apa yang beliau sebut sebagai “kesatuan penjaga gawang” di pangkalan latihan England di Zelenogorsk.
Salah satu kekuatan Pickford yang paling hebat, menurut mereka yang mengenalinya, adalah keupayaannya untuk meletakkan kesilapan di belakangnya tetapi dia tidak mengambil ringan akan kesilapan itu.
Satu momen ketidakpastian dalam persembahan yang luar biasa ketika melawan Sweden membawa kepada Pickford secara tidak sengaja menumbuk lututnya daripada tanah, dan dengan kelihatan tangan kirinya dibalut ketika dia mempamerkan anugerah pemain terbaik perlawanan yang dimenanginya.
Dia juga mempunyai ciri ketahanan mental yang kuat, dia tidak dipengaruhi oleh kritikan terhadap prestasinya dalam kekalahan England kepada Belgium, yang mungkin dipengaruhi akibat tidak diuji dengan banyak ketika melawan Tunisia dan Panama.
Dia telah bangkit dan memberi perembahan yang terbaik sejak itu, menyelamatkan percubaan dari Mateus Uribe dari Colombia pada waktu yang normal perlawanan dan kemudian menyelamatkan sepakan penalti dari Carlos Bacca ketika England memenangi penentuan penalti menentang Colombia. Kecemerlangan itu disambungnya dengan aksi cemerlang menentang Sweden di Samara.
Dia mempunyai tugas yang berat untuk membuktikan kelayakannya menjadi penjaga gol nombor satu England, bukan hanya dengan menyelamatkan gol dari dibolos tetapi dengan memenuhi peranan penting dalam rancangan Southgate menerusi pengedaran bola untuk mengerakkan permainan England.
Aksi Pickford pada minggu lalu telah meletakkannya menjadi pesaing utama untuk pasukan terbaik Piala Dunia FIFA di kejohanan kali ini dan membuktikan England mempunyai penjaga gol yang boleh berkhidmat untuk mereka untuk sedekad yang akan datang.
Baca Juga: Ronaldo Menjadi Pemain Terpantas Di Piala Dunia 2018!
Dapatkan Phone Case Jersi Piala Dunia 2018 Made by BlankCo Di sini. Jangan lupa untuk masukkan kod INIKANBOLA untuk dapatkan diskaun 10%: http://bit.ly/2NrF56X
Nota: Setiap pembelian anda di BlankCo dengan menggunakan kod INIKANBOLA, kami akan mendapat sebahagian dari hasil penjualan itu. Ayuh, teruskan menyokong kami!