Piya Mahu Pemain Memberikan Fokus Sepenuhnya
- Liga Perdana
- Jan 24, 2019
- No comment
Pemain tengah Perlis, Badhri Radzi atau Piya mahu rakan sepasukan untuk memberikan fokus yang sepenuhnya dan tidak terganggu dengan isu yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) ketika ini.
Bekas ketua pasukan Kelantan ini bertekad untuk membantu pasukan Perlis kembali ke zaman kegemilangan dan beliau meminta rakan sepasukan yang lain untuk memberikan fokus dan menampilkan persembahan terbaik di atas padang.
“Kita fokus perlawanan pembukaan nanti dan apa jua perkara remeh-temeh kita letak tepi dulu. Apa yang penting sasaran kita adalah untuk naik ke Liga Super musim depan.
“Pasukan sudah bersedia dengan semangat yang tinggi untuk beraksi. Kita akan memberikan persembahan terbaik untuk Perlis dan tidak akan mengecewakan para penyokong,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pada masa yang sama, ketua jurulatih pasukan, Manzor Azwira berkata para pemain sudah bersedia sepenuhnya menjelang sepak mula Liga Perdana yang akan bermula pada 1 Februari nanti.
Menurut Manzoor, gabungan antara pemain muda dan pemain senior semakin serasi dan mereka sudah sedia untuk menampilkan persembahan terbaik.
“Meskipun timbul cerita-cerita tidak enak baru-baru ini namun pemain sentiasa positif supaya fokus mereka tidak terjejas.
“Biasalah, pasukan baharu perlu lalui banyak ujian dan dugaan. Ada yang sokong, ada juga yang tidak senang hati dengan mencari perkara-perkara negatif dalam pasukan. Namun ia tidak melemahkan semangat kami,” kata Manzoor.
PFA ketika ini diasak bertalu-talu oleh bekas pemain dan juga peminat bola sepak tanah air kerana isu tunggakan gaji yang masih belum selesai. Selain isu tunggakan gaji, PFA turut berdepan masalah lain dimana penaja yang pada mulanya berminat untuk menaja pasukan mengambil keputusan untuk menarik diri pada saat akhir.
Menurut presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, empat penaja besar yang mahu menaja pasukan sebelum ini mengambil keputusan menarik diri kerana masalah tunggakan gaji yang dihadapi persatuan itu.
Meskipun kehilangan penaja, Perlis tetap membawa masuk pemain import dimana mereka menggunakan khidmat dua pemain dari Brazil, satu dari Perancis dan juga Jepun.
Baca Juga: Perlis Dalam Fasa Pengurangan Operasi