“Player Local Mereka Bagus”

Kedah mengesahkan tempat mereka dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2017 setelah mengalahkan Felda United dengan agregat 3-1. Perlawanan akhir kali ini merupakan kali ketiga berturut-turut bagi pasukan Kedah. Pada edisi 2015, mereka tewas kepada Selangor. Manakala pada edisi 2016, mereka menewaskan Selangor menerusi sepakan penalti.

Setelah perlawanan tamat, ketua pasukan Felda United, Shukor Adan menyatakan bahawa pemain tempatan Kedah mempunyai kualiti. Shukor juga menambah bahawa kualiti yang dimiliki oleh pemain tempatan Kedah berjaya mengekang segala asakan Felda United dan seterusnya mara ke perlawanan akhir.

Pasukan Kedah memang tidak pernah ketandusan bakat pemain tempatan sejak kebelakangan ini. Sebagai contoh, pada musim ini, mereka berjaya melahirkan penyerang muda berbakat iaitu Akhyar Rashid. Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Akhyar membolehkan beliau disenaraikan dalam skuad Sukan SEA 2017.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United tempoh hari, Kedah hanya menggunakan khidmat dua pemain import dalam kesebelasan utama. Kedah menurunkan Syafiq Ahmad sebagai penyerang utama mereka. Kedah juga menurunkan pemain sayap muda iaitu Farhan Roslan bagi membantu Sandro untuk merancang serangan. Menurut kami, tindakan Kedah ini wajar untuk dicontohi pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Sudah tiba masanya kita mengurangkan kebergantungan kita terhadap pemain import. Bukannya mahu menutup peluang bagi pemain luar untuk datang ke Liga kita. Akan tetapi jika kita mengurangkan kebergantungan kita kepada pemain import, sedikit-sebanyak kita dapat menaikkan lagi tahap permainan pemain tempatan kita.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada pernah berkata bahawa pasukan Malaysia kekurangan penyerang. Hal ini disebabkan oleh kebanyakkan pasukan dalam Liga Malaysia amat bergantung kepada penyerang import. Apa kata kita beri peluang kepada penyerang tempatan untuk bermain di kesebelasan utama. Kami yakin bahawa mereka akan mengambil peluang dan akan menyinar bagi pasukan masing-masing. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu skuad kebangsaan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *