Rangkuman Ringkas Liga Super dan Liga Perdana 2019
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 30, 2019
- No comment
Saingan Liga Super dan Liga Perdana 2019 bakal bermula pada hujung minggu ini. Bagi Liga Super, perlawanan pertama pada 1 Februari ini di mana Terengganu bakal menjamu PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, dan Kuala Lumpur menerima kedatangan Pahang di Stadium Cheras. Sementara untuk Liga Perdana pula, PDRM yang menggunakan Stadium MPS di Selayang bakal melawan UiTM pada tarikh yang sama.
Oleh itu, mari kita melihat rangkuman ringkas Liga Super dan Liga Perdana 2019.
STADIUM
Kesemua pasukan di Liga Super bermain di semenanjung, memandangkan tiada pasukan dari Sabah dan Sarawak. 3 pasukan bermain di negeri dari Pantai Timur (Terengganu, Pahang dan Felda United) dan sisanya bertumpu di pantai barat. Hanya PKNS dan Selangor sahaja berkongsi stadium (Stadium Shah Alam) sementara negeri Selangor mempunyai 3 pasukan (Petaling Jaya City, PKNS dan Selangor).
Bagi Liga Perdana pula, 2 pasukan bermain di Sabah dan Sarawak. Dan sesuai namanya, Sabah dan
Sarawak bermain di Sabah-Sarawak (penulis pun konfius). 2 pasukan lainnya bermain di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu II), sementara PDRM dan Selangor United bakal berkongsi menggunakan stadium Selayang – jika diambil kira perlawanan Jumaat ini, dan negeri Selangor juga mempunyai 3 pasukan (PDRM, Selangor United dan UiTM FC).
Jika stadium di Liga Super dan Liga Perdana 2019 digabung, maka ada dua stadium yang bakal dikongsi oleh pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana, iaitu Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah (Terengganu dan Terengganu II) dan Stadium Cheras (Kuala Lumpur dan UKM FC).
Ada empat pasukan yang menukar venue mereka musim ini, seperti PKNP (dari Stadium Perak dan
Stadium Batu Kawan ke Stadium Manjung), PDRM (dari Stadium Shah Alam ke Stadium Selayang),
Selangor United (dari Stadium Sungai Besar ke Stadium Selayang) dan UKM FC (dari Stadium Selayang ke Stadium Cheras).
JURULATIH
Hanya ada 3 jurulatih bukan tempatan, iaitu Luciano Figueroa dari Argentina (JDT), Aidil Sharin Sahak dari Singapura (Kedah) dan Mehmet Duraković dari Australia (Perak). Sementara ketua pasukan yang bukan tempatan ada dua, iaitu Hariss Harun dari Singapura (JDT) dan Kipré Tchétché dari Ivory Coast (Terengganu).
Ada lima pasukan di dalam Liga Super yang melantik jurulatih baru, seperti Felda United (Nidzam Jamil menggantikan B. Sathianathan), Kedah (Aidil Sharin menggantikan Nidzam Adzha), Kuala Lumpur (Yusri Che Lah menggantikan Fábio Magrão), Melaka United (Zainal Abidin Hassan menggantikan E. Elavarasan), dan Selangor (B. Sathianathan menggantikan Nazliazmi Nasir).
Sementara bagi Liga Perdana, hanya Ervin Boban (JDT II) dan Marko Kraljević (Kelantan) sahaja bukan warga tempatan. Kedua-duanya berasal dari Croatia. Setakat ini, hanya Cassio dari Brazil (Kelantan) menjadi ketua pasukan bukan warga tempatan. Belum ada kepastian dari Pulau Pinang, Perlis, Sarawak dan UiTM FC mengenai siapa menjadi ketua pasukan.
Di Liga Perdana juga, beberapa pasukan seperti Kelantan (Marko Kraljević menggantikan Yusri Che
Lah), Negeri Sembilan (Mat Zan Mat Aris menggantikan Mario Lemos), Pulau Pinang (Ahmad Yusof
menggantikan Zainal Abidin Hassan), Perlis (Manzoor Azwira menggantikan Manja Man), Sarawak
(Pengiran Bala menggantikan Ian Gillan) dan UiTM FC (Ismail Zakaria menggantikan Wan Mustafa Wan
Ismail).
PEMAIN IMPORT
Di Liga Super, paling banyak sesebuah pasukan membawa pemain import yang sama dari musim lepas
adalah seramai 4 pemain, iaitu Terengganu. Terengganu hanya menggugurkan seorang pemain import
sahaja iaitu Do Dong-hyun dan menggantikan dengan Sanjar Shaakhmedov. Pasukan lain seperti tiga
pemain (Kuala Lumpur, Perak), dua (JDT, PJ City), satu (Felda United, Pahang, PKNS, Selangor) atau
tiada langsung (Kedah, Melaka United, PKNP). Untuk Pahang, walau musim lepas Mohamadou
Sumareh didaftarkan sebagai pemain import, namun bagi musim ini, dia didaftarkan sebagai pemain
tempatan.
Bagi Liga Perdana 2019, paling banyak sesebuah pasukan membawa pemain import yang sama dari
musim lepas adalah sebanyak 2 pemain. JDT II dan Terengganu II – kebetulan kedua-duanya
merupakan feeder club membawa Bruno Soares dan Nicolás Fernández (JDT II) serta Akanni SundayWasiu dan Bruno Suzuki (Terengganu II).
Selain itu, pasukan lain membawa satu (Kelantan, PDRM, Pulau Pinang, Sabah, UKM FC) atau tiada langsung (Negeri Sembilan, Sarawak, UiTM). Untuk Perlis dan Selangor United, mereka membawa pemain import baru disebabkan musim lepas mereka tiada pemain import untuk saingan Liga FAM.
PEMAIN NATURALISASI
Di Liga Super, ada 6 pasukan yang memiliki pemain naturalisasi. JDT mengetuai pasukan-pasukan
tersebut dengan 3 pemain (La’Vere Corbin-Ong, Kiko Insa dan Natxo Insa). Selepas Sumareh menjadi
pemain tempatan, maka Pahang memiliki 2 pemain naturalisasi (Sumareh dan Matthew Davies).
Empat pasukan lainnya adalah Kuala Lumpur (Khair Jones), Melaka (Oscar Wong Tse Yeung), Perak
(Brendan Gan) dan PKNS (Nick Swirad). Hanya Sumareh bukan dinaturalisasi berdasarkan keturunan,
dan Oscar Wong serta Nick Swirad belum pernah bermain untuk Malaysia.
Untuk pengetahuan, Oscar Wong adalah anak kepada Wong Kam Fook, bekas penjaga gol Malaysia
yang bermain di Olimpik 1972. Beliau juga membawa Perak menjuarai Piala Malaysia tahun 1970.
Jika Lee Tuck berjaya menjadi pemain naturalisasi, maka Terengganu mempunyai pemain naturalisasi
pertama musim ini, sekaligus memberikan satu kuota kosong untuk pemain import.
SAINGAN DERBI
Selepas Kelantan dan Negeri Sembilan diturunkan ke Liga Perdana, maka tiada lagi saingan derbi
Pantai Timur dan derbi Naning. Namun ianya tidak menjadi halangan, apabila terdapat beberapa derbi
yang masih kekal di Liga Super, seperti derbi Lembah Kinta (Perak vs PKNP), derbi Selangor (PKNS vs Selangor), derbi Perbadanan (PKNP vs PKNS), derbi Diraja (JDT vs Pahang) dan derbi Lembah Klang
(Kuala Lumpur vs Selangor).
Dalam Liga Perdana 2019 juga masih ada derbi yang terhasil. Derbi Borneo di antara Sabah dan Sarawak kembali terjalin, selain derbi Pantai Timur (Kelantan vs Terengganu II) walaupun kali ini Terengganu ‘diwakili’ oleh feeder club mereka, ataupun derbi Universiti (UiTM FC vs UKM FC) yang bakal meriah oleh sokongan penuntut universiti masing-masing. Ataupun boleh dimasukkan derbi Selayang (PDRM vs Selangor United) kerana kedua-dua pasukan menggunakan stadium Selayang.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: FAM, MFL Tubuhkan Badan Pengadil