Rawilson Batuil Boleh Beri Nafas Baru ?
- Harimau Malaya, Liga Perdana
- Mar 9, 2018
- No comment
Siapa boleh sangka pasukan Sabah boleh menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Perdana musim ini. Setakat empat perlawanan Liga, Sabah masih belum tewas dengan mengutip dua kemenangan dan juga dua seri. Barisan serangan Sabah yang diketuai oleh Maxius Musa, Lee Gil Hoon dan Hector Ramos berjaya menjaringan 5 gol dalam saingan Liga setakat ini. Akan tetapi, kami lebih tertarik kepada ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil yang berjaya menjaringkan dua gol setakat ini. Berkat persembahan cemerlang Rawilson, ada ura-ura mengatakan bahawa jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu menyenaraikan beliau bagi mewakili Malaysia.
Jika kita melihat kepada prestasi barisan pertahanan Sabah setakat ini, mereka hanya melepaskan dua gol dalam saingan Liga. Ini adalah satu rekod yang baik. Gandingan Rawilson dengan pemain import dari Zambia, Francis Kasonde boleh dikatakan gandingan pertahanan terbaik dalam saingan Liga Perdana dibelakang Felda United.
Berbalik kepada isu tentang Tan Cheng Hoe yang berminat menyenaraikan Rawilson, kami berpendapat ia adalah satu langkah yang baik memandangkan barisan pertahanan negara perlukan muka dan juga tenaga baru. Kita sudah tidak boleh bergantung kepada Aidil Zafuan, Shahrom Kalam dan Khairul Helmi bagi membarisi posisi pertahanan skuad kebangsaan. Dengan adanya Rawilson, Tan Cheng Hoe mempunyai beberapa pilihan pemain yang pelbagai. Mungkin Rawilson boleh digantikan dengan Fadhli Shas, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria atau Dominic Tan. Satu pilihan yang baik menurut kami.
Selain itu, sudah lama kita tidak meihat kelibat pemain dari Borneo mewakili skuad kebangsaan. Kali terakhir kita melihat pemain Borneo dalam skuad kebangsaan adalah Ronny Harun ketika temasya Piala AFF Suzuki 2016 lalu. Jika Tan Cheng Hoe menyenaraikan Rawilson, ini boleh menjadi pembakar semangat bagi pemain Borneo yang lain untuk bekerja lebih keras bagi meningkatkan tahap permainan dan juga kualiti mereka sekaligus memikat hati pengendali skuad kebangsaan bagi menyenaraikan mereka untuk mewakili Malaysia.
Apa pendapat anda mengenai Rawilson Batuil yang khabarnya akan dipanggil oleh Tan Cheng Hoe ? Adakah beliau mampu untuk memberi nafas baru kepada barisan pertahanan negara ?
Baca Juga: Siapa Raja Di Borneo ?