Ribut Malaysia Akan Melanda Bahrain!

Pasukan bawah 23 tahun Malaysia akan menentang Bahrain hari ini dalam misi untuk meraih mata penuh pada saingan peringkat kumpulan E temasya Sukan Asia 2018. Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika ini menerajui kumpulan dengan Perolehan enam mata.

Setelah berjaya menundukkan juara bertahan, Korea Selatan pada Jumaat lalu, motivasi dan juga prestasi pasukan ketika ini berada pada kedudukan terbaik. Dengan rekod cemerlang pasukan negara ditambah dengan prestasi semasa pasukan Bahrain yang tidak begitu baik, Safawi Rasid dan rakan-rakan dilihat mampu untuk mencatat kemenangan ketiga.

Bahrain sebelum ini dibelasah Korea Selatan dengan keputusan 6-0 pada perlawanan pertama. Bahrain kemudiannya berjaya meraih satu mata apabila seri ketika menentang pasukan Kyrgyztan pada perlawanan kedua. Jika Bahrain mahu layak ke peringkat kalah mati, mereka wajib untuk menewaskan Malaysia sambil berharap Kyrgyztan dapat menewaskan Korea Selatan.

Kami berpendapat ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama beliau. Trio “SAS” iaitu Safawi, Akhyar dan Syafiq mungkin dikekalkan kerana keserasian yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga pemain ini sangat baik.

Di bahagian tengah pula, Datuk Ong mungkin akan menurunkan semula Nik Akif Syahiran bagi menggantikan Syahmi Safari manakala di bahagian pertahanan pula, Dominic, Irfan dan Adam akan dikekalkan memandangkan ketiga-tiga pemain ini menampilkan aksi yang cemerlang ketika Malaysia menewaskan Korea Selatan.

Apa yang pasti, ada baiknya Datuk Ong mengekalkan kesebelasan utama yang beliau turunkan sebelum ini bagi memantapkan lagi persefahaman dan juga keserasian para pemain menjelang perlawanan di peringkat kalah mati di mana Malaysia akan menentang pasukan Jepun.

Meskipun Jepun menghantar pasukan bawah 21 tahun mereka, namun Malaysia perlu berada di tahap terbaik bagi memberikan cabaran yang sengit kepada Jepun.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan bawah 23 tahun negara menentang Bahrain malam ini ? Mampukah Harimau Muda meraih kemenangan ketiga sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan peringkat kumpulan dalam temasya Sukan Asia 2018 ?

Baca Juga: Safawi Rasid Jelmaan Amri Yahyah – Datuk Hamidin Amin

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *