RM6 Juta Untuk Menghadapi Saingan Liga Perdana
- Liga Perdana
- Oct 11, 2018
- No comment
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan persatuan beliau memerlukan dana sebesar RM6 juta bagi mempersiapkan pasukan untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia musim hadapan.
Meskipun bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan, KAFA mahu menyediakan pasukan terbaik bagi mengharungi saingan tersebut dan mereka dilihat mahu segera kembali ke kancah Liga Super.
“Kami juga harus mencari pemain yang dapat membantu menaikkan kembali pasukan ke saingan Liga Super musim berikutnya,” katanya ketika dihubungi mStar.
Bibi turut mengesahkan pihaknya ada berbincang dengan beberapa syarikat untuk menjadi sebahagian daripada penaja pasukan bagi saingan musim 2019.
“Beberapa syarikat menunjukan minat membantu kami, namun ia masih di peringkat awal perbincangan, saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat syarikat itu bagi mengelakkan kekeliruan dan isu lain,” tambah Bibi.
Kelantan tersingkir daripada saingan Liga Super musim hadapan setelah mereka menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di tangga ke-11. Prestasi yang tidak menentu serta krisis jurulatih yang dialami pada awal dan juga pertengahan musim ini menjadi punca utama mengapa Kelantan tampil lesu musim ini.
Tidak cukup dengan itu, ketiadaan beberapa pemain senior seperti Khairul Fahmi Che Mat, Badhri Radzi dan Nor Farhan Mohammad juga menyumbang kepada kejatuhan Kelantan.
Apa yang pasti, Kelantan tidak boleh mengulangi kesilapan yang mereka lakukan musim ini jika mereka mahu segera kembali ke kancah Liga Super. Penggunaan pemain muda dan juga pembelian pemain import yang sesuai dengan corak permainan jurulatih perlu dijadikan perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh Kelantan.
Kita sedia maklum bahawa Kelantan mempunyai pemain muda yang berpotensi seperti Nik Azli Nik Alias dan Nik Akif Syahiran. Jika kedua-dua pemain ini kekal, maka mereka bakal menjadi nadi utama pasukan musim hadapan.
Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Kelantan yang akan bersaing dalam Liga Perdana musim hadapan ? Mampukah mereka mendapatkan RM6 juta yang diperlukan untuk mempersiapkan pasukan ?
Baca Juga: Tiga Pemain Dilepaskan Kerana Kecederaan