Rodney Celvin Akwensivie, Pemain Berdarah Ghana-Bidayuh Sedia Galas Cabaran
- Harimau Malaya
- Aug 14, 2018
- No comment
Pemain pertahanan pasukan bawah 23 tahun negara, Rodney Celvin Akwensivie terkejut dengan penyenaraian semula nama beliau untuk mewakili Malaysia pada temasya Sukan Asia 2018. Sebelumnya, nama Rodney disisihkan daripada senarai 20 pemain utama yang akan berangkat ke Indonesia.
Ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee memanggil Rodney bagi menggantikan pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham setelah kecederaan yang dialami oleh pemain yang mesra disapa “Boy” itu mengambil masa yang lama untuk pulih.
Menurut laporan Utusan Malaysia, panggilan Datuk Ong bagaikan mimpi kerana sebelumnya beliau sudah mengemas barang dan hendak pulang bagi menyertai persiapan pasukan PKNS FC untuk saingan Piala Malaysia 2018.
“Ini peluang untuk saya buktikan sesuatu kepada pasukan. Kalau diberi peluang bermain saya akan beri aksi terbaik buat negara dan penyokong.
“Jujurnya saya tidak percaya apabila dipanggil balik, namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersama pasukan.
“Saya menerima panggilan pada pukul 8 pagi tadi dan pada waktu itu saya ingin melakukan persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia bersama PKNS,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah pemain kelahiran Sarawak yang memiliki darah kacukan Bidayuh-Ghana ini, beliau harus segera menyesuaikan diri dengan corak permainan Datuk Ong Kim Swee kerana ini kali pertama berada di bawah pimpinan jurulatih tersebut.
Kami berpendapat Datuk Ong akan meletakkan Rodney di posisi Adam Nor Azlin jika Irfan Zakaria diletakkan di bahagian tengah pasukan negara. Adam bakal mengambil alih posisi yang ditinggalkan oleh Irfan dan Rodney bakal diletakkan di posisi pertahanan kiri dalam sistem back three.
Kekuatan fizikal, kemampuan untuk membaca gerakan serangan lawan dan kemampuan Rodney untuk memenangi bola di udara akan menjadi aset penting buat pasukan bawah 23 tahun pada temasya Sukan Asia 2018 nanti.
Apa yang pasti, kehadiran Rodney Celvin Akwensivie memberikan satu kelebihan yang tersendiri bagi pasukan bawah 23 tahun negara. Dengan kekurangan pemain di bahagian tengah, Rodney boleh diturunkan di bahagian pertahanan jika Datuk Ong mahu menggunakan Irfan atau Adam di bahagian tengah.
Apa pendapat anda mengenai penyenaraian semula pemain berdarah Ghana-Bidayuh ini dalam skuad Malaysia ke Sukan Asia 2018 ? Mampukah Rodney menampilkan aksi cemerlang ?
Baca Juga: Danial Amier Norhisham Digugurkan