Romel Morales Idam Aksi Bersama Harimau Malaya
- Harimau Malaya
- Mar 11, 2019
- No comment
Pemain tengah import pasukan PKNS FC, Romel Morales mengutarakan minatnya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia pada masa akan datang.
Pemain tengah ini berkata beliau sanggup untuk menunggu tiga tahun lagi jika tempoh itu diperlukan sebelum beliau dibenarkan menyarung jersi Harimau Malaysia.
Morales yang berasal dari Colombia dan berusia 22 tahun ini menyatakan beliau sudah selesa selesa tinggal di negara ini dan ingin membalas segala kebaikan yang diterima untuk berbakti kepada pasukan kebangsaan jika diberi kesempatan.
“Saya suka bermain untuk pasukan Malaysia terutama dengan keadaan budaya menyeronokkan selain mewakili PKNS yang mempunyai semangat kerjasama tinggi. Jika perlu menunggu tiga tahun pun tiada masalah pada saya kerana mewakili negara adalah satu kebanggaan yang tidak ramai dapat peluang berbuat demikian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama yang menyarung jersi pasukan kebangsaan. Sumareh juga telah beraksi dalam kejohanan antarabangsa bersama Malaysia iaitu pada saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun yang beraksi bersama Pahang itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia sejak April tahun lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia dimana larian pantas serta gelecekan beliau menjadi senjata utama beliau.
Syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah setiap pemain naturalisasi yang tiada pertalian darah perlu menetap di negara ini sekurang-kurangnya lima tahun selepas berusia 18 tahun sebelum dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan berkenaan.
Sementara itu, Romel Morales yang pernah mewakili Club Atletico Banfield yang berpangkalan di Argentina turut berpendapat makanan di negara ini menjadi salah satu faktor mengapa beliau jatuh hati dengan negara ini.
“Jika ditanya apa yang menarik mengenai Malaysia, sudah pastinya makanan dan budayanya malah keluarga saya pun seronok tinggal di sini,” tambahnya.
Romel yang beraksi bersama PKNS FC sejak musim lalu menampilkan gandingan mantap bersama Akram Mahinan di bahagian tengah. Jika beliau mampu untuk mengekalkan prestasi untuk tiga tahun seterusnya, tidak mustahil beliau akan dipanggil bagi beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Baca Juga: Kenapa Tak Letak Jurulatih Tempatan – B.Sathianathan