Rufino Segovia, Dari Bersaing Dengan Torres Ke Bumi Selangor
- Liga Super
- Mar 6, 2018
- No comment
Carta penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dipegang oleh penyerang import yang berasal dari Sepanyol. Penyerang yang menyertai pasukan Selangor pada pertengahan musim lalu ini nyata sungguh tajam di hadapan gol. Pernah bermain bersama-sama pemain berkelas dunia seperti Fernando Torres dan Diego Simeone di Atletico Madrid, Rufino Segovia Del Burgo nyata menjadi senjata utama Selangor musim ini. Lima gol dalam saingan Liga setakat ini membuktikan bahawa pengurusan Selangor membuat keputusan bijak untuk mengekalkan beliau.
Rufino datang ke bumi Selangor bagi menggantikan Juliano Mineiro pada pertengahan musim lalu. Sepanjang setengah musim bersama Selangor, beliau berjaya menjaringkan sebanyak 10 gol dalam semua pertandingan buat pasukan Selangor musim lalu. Tetapi, ketika itu Rufino diletakkan dibelakang Francis Forkey Doe di bahagian serangan yang membuatkan pergerakan beliau sedikit terbatas. Musim ini, beliau diletakkan sebagai target man dalam kesebelasan utama oleh P.Maniam. Rufino boleh dikatakan sebagai seorang penyerang dengan pakej yang lengkap kerana mampu untuk menjaringkan gol menggunakan kaki dan kepala beliau. Dalam dua perlawanan pertama Liga, prestasi Rufino begitu meyakinkan di hadapan gol. Beliau menjaringan empat gol dalam dua perlawanan. Akan tetapi, dalam dua perlawanan terakhir Liga, Rufino dilihat agak bergelut di hadapan pintu gol. Kami berpendapat sistem 3-4-3 yang digunakan oleh P.Maniam sebelum ini sudah tidak sesuai dengan gaya permainan Rufino.
Kita boleh lihat ketika perlawanan Piala FA antara Selangor menentang MOF FC. Rufino dilihat kerap meninggalkan posisi beliau bagi mengutip bola di kawasan tengah. Ini membuatkan gerakan serangan yang diatur oleh Selangor sedikit lambat. Apabila P.Maniam mengubah formasi tersebut kepada 4-3-3, barulah Rufino dilihat lebih efektif. Beliau tidak perlu turun untuk mengutip bola kerana ada Evan Dimas dan juga dua pemain sayap yang akan berbuat demikian.
Mampukah Rufino menamatkan musim 2018 sebagai penjaring terbanyak saingan Unifi Liga Super 2018 ? Jika beliau mengekalkan rentak posistif ini, kami berpendapat beliau mampu untuk menamatkan saingan Liga musim ini sebagai penjaring terbanyak. Sigan el buen trabajo (kekalkan prestasi bagus ini) Rufino Segovia!
Baca Juga: Pertukaran Formasi Beri Perbezaan!