Rufino Semakin Hampir Menangi Kasut Emas Liga Super!

Penyerang Selangor, Rufino Segovia Del Burgo semakin hampir untuk merangkul gelaran Kasut Emas bagi saingan Liga Super musim ini setelah beliau berada jauh dihadapan penyerang import lain dalam carta penjaring terbanyak Liga.

Penyerang berusia 32 tahun dari Sepanyol ini sedang mendahului carta penjaring terbanyak dengan perolehan 18 gol setakat ini. Beliau berkelebihan empat gol dihadapan penyerang Terengganu FC, Kipre Tchetche yang mempunyai 14 gol dan berada 5 gol dihadapan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula yang setakat ini menjaringkan 13 gol.

Kecemerlangan Rufino dalam saingan Liga Super musim ini sememangnya di luar jangkaan ramai pihak. Pada permulaan musim ini, ramai pihak menjangkakan pemenang kasut emas musim lalu, Mohammed Ghaddar yang beraksi bersama Kelantan bakal mempertahankan gelaran tersebut.

Selain itu, mereka juga beranggapan penyerang dari Kedah, Johor Darul Ta’zim dan juga Pahang bakal mencabar bagi gelaran tersebut. Namun, semuanya silap belaka dan pemain Selangor ini menunjukkan bahawa beliau adalah penyerang paling subur dalam saingan liga musim ini.

Prestasi cemerlang Rufino musim ini juga menjadi penyumbang besar kepada kecemerlangan Selangor dalam kempen Piala FA edisi tahun ini. Walaupun mereka tewas kepada Pahang pada perlawanan akhir, namun Rufino berjaya mencuri tumpuan apabila beliau berjaya meledak 9 gol sepanjang temasya berlangsung.

Dalam saingan Liga pula, persembahan cemerlang Rufino berjaya membantu pasukan Selangor untuk kekal dalam saingan Liga musim hadapan dan terselamat daripada terjatuh ke saingan Liga Perdana. Dikala Selangor sedang mengalami prestasi pasukan yang naik turun, namun Rufino tetap menampilkan persembahan cemerlang beliau.

Dengan kecemerlangan Rufino musim ini, selain merankul gelaran Kasut Emas Liga Super, beliau boleh dimasukkan dalam calon pemain import terbaik Liga Malaysia musim ini. Jumlah jaringan yang dihasilkan sudah cukup untuk Rufino menjadi antara pemain import terbaik Liga Malaysia musim ini.

Selangor akan menentang PKNP FC pada Khamis sebelum menutup saingan Liga Super 2018 dengan menentang Terengganu FC di Cheras. Jika Rufino berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan ini, maka anugerah Kasut Emas akan menjadi milik beliau.

Akan tetapi, jika Kipre dan Guilherme mahu mencabar Rufino, mereka perlu menjaringkan gol yang banyak pada perlawanan terakhir Liga dan mengharapkan Rufino gagal berbuat demikian.

Baca Juga: Berapa Ramai Pemain Yang Kita Perlukan ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *