Rumusan Perangsang Selangor Speakers Corner
- Lain-lain, Liga Super
- Dec 12, 2017
- No comment
Pada 9 September 2017 yang lalu, penulis sempat menghadiri sebuah forum Perangsang Selangor Speakers Corner yang berlangsung sempena Hari Komuniti Bola Sepak Selangor di Bilik VIP Stadium Shah Alam.
Forum tersebut yang berlangsung selama 2 jam dari 2.30 petang hingga 4.30 petang dihadiri oleh kira-kira 100 peserta dengan ahli-ahli forum iaitu:
- CEO Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Encik Safirul Azli Abu Bakar.
- Ketua jurulatih pasukan Perak FA, Mehmet Durakovic.
- Pengarah Urusan Little League Soccer, Encik Mohammad Shazwan Wong bin Abdullah.
- Bekas pertahanan lagenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.
Dengan tema bola sepak akar umbi, mereka membincangkan tentang hala tuju pembangunan bola sepak Malaysia di samping membandingkan taraf bola sepak kita dengan negara-negara luar dan tidak dilupakan pengalaman-pengalaman lampau ketika bergelar pemain bola sepak.
Rumusan ini akan diceritakan menurut satu-persatu dari ahli-ahli forum tersebut berkenaan isi tutur kata mereka tempoh hari.
1. Encik Safirul Azli Abu Bakar – Bagaimana NFDP terbentuk dan beroperasi.
CEO NFDP tersebut memulakan kalimat beliau dengan bagaimana idea NFDP ini terhasil pada 2013. Beliau turut menceritakan tentang sistem NFDP hari ini yang mempunyai 4 Akademi Tunas di negeri Selangor dengan 50 pemain terbaik seluruh negara akan dipilih untuk menyertai pusat latihan negara di Gambang.
Mereka juga sering bersikap terbuka kepada semua FA negeri dengan menyatakan bahawa mereka boleh duduk berbincang andainya mana-mana FA negeri ingin turut serta dalam program ini, sebagai contoh, program NFDP di Johor hari ini dipegang terus oleh pihak kelab Johor Darul Takzim FC (JDT). Mereka juga hendaklah memberi bantuan kepada pemain-pemain di bawah akademi ini dan bukan sahaja hanya memberi nama akademi dalam borang pelesenan kelab hanya untuk mendapatkan lesen kelab.
2. Encik Mehmet Durakovic – Perbezaan pembangunan bola sepak Malaysia dan Australia
Antara intipati bicara ketua jurulatih Perak ini adalah, kanak-kanak sangat gemar menggunakan komputer, baik di Malaysia atau Australia. Begitu pun, apa yang membezakan adalah ibu bapa di Australia membawa anak-anak mereka melakukan aktiviti ‘outdoor’ pada hujung minggu, agak berbeza dengan kanak-kanak di negara kita.
Beliau turut menekankan tentang peri pentingnya fasiliti dalam membentuk para pemain muda di mana, Malaysia masih ke belakang dalam hal itu malah masih banyak padang-padang berlubang dan tidak terurus.
Tidak dilupakan, remaja seharusnya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Hal ini kerana sebagai contohnya jika cita-cita seorang pemain tidak dapat dicapai disebabkan masalah kecederaan, mereka masih boleh bekerja dalam sektor yang lain yang menjanjikan pulangan yang baik. Beliau sendiri pernah bertemu bekas-bekas pemain beliau yang bersara akibat kecederaan, hanya bekerja di restoran makanan segera.
3. Encik Shazwan Wong – Apa yang diperlukan sebagai seorang jurulatih pemain muda.
Jurulatih yang pernah bekerja di Shanghai, China ini berkata, seorang jurulatih adalah lebih dari hanya datang ke padang dan pulang ke rumah. Beberapa aspek harus ditekankan dalam kejurulatihan pemain muda.
Fasiliti latihan adalah nombor satu. Jurulatih harus mengambil kira walaupun hanya peralatan asas latihan. Selain itu, jurulatih perlu merancang latihan dengan baik sepanjang hari. Seterusnya, jurulatih harus sering melihat kembali kepada diri sendiri apakah latihan diberikan sudah cukup atau memerlukan penambahbaikan pada masa akan datang. Jurulatih juga mesti memberitahu perkara yang sebenar kepada ibu bapa tentang perkembangan anak-anak mereka dan cara-cara mengatasi masalah pemain, selain daripada mengajar ibu bapa sendiri berkenaan bola sepak dan apa yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan kepada anak-anak.
4. Datuk Santokh Singh – Aspek penting dalam menjadi pemain bola sepak.
Bekas pertahanan negara ini tidak bercakap panjang, dengan hanya 4 minit sahaja digunakan beliau. Memulakan kata dengan mengucapkan selamat maju jaya kepada Wan Kuzain Wan Kamal, pemain muda yang kini beraksi di Amerika Syarikat yang turut hadir pada hari tersebut, beliau menggunakan ‘3D’ sebagai asas beliau untuk menjadi pemain yang berjaya.
”Discipline, determination, dedication. When we have this, we will never go wrong’ – kata bekas pemain tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa beliau tidak menyukai mana-mana pemain professional yang diberikan gaji tinggi namun hanya memanaskan bangku simpanan.
Begitulah apa yang penulis dapat simpulkan dari forum tersebut. Akhir kata, bola sepak Malaysia akan lebih cerah andai program-program pembangunan bola sepak di Malaysia tidak dipandang enteng dan disertai seluruh rakyat dalam membangunkan generasi yang lebih gemilang untuk masa depan bola sepak negara!