Safawi Rasid Mahu Jadikan 2019 Tahun Terbaik

Penyerang Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid mahu menjadikan tahun 2019 sebagai tahun terbaik beliau setelah cemerlang bersama kelab dan juga pasukan kebangsaan tahun lalu.

Tahun 2018 merupakan tahun terbaik Safawi apabila beliau berjaya memenangi trofi Liga Super bersama JDT dan menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan serta membantu skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Kecemerlangan Safawi membolehkan beliau diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018.

Saya akui gembira dengan apa yang saya lakukan bersama pasukan JDT pada musim lepas, namun ia tidak bermakna saya sudah ber­puas hati kerana saya percaya masih boleh memberi sumbangan lebih lagi pada tahun 2019.

“Tiada sasaran spesifik tetapi saya harap dapat lakukan yang terbaik dalam semua saingan Liga Malaysia serta kejuaraan Liga Juara-Juara Asia musim ini,” katanya kepada Kosmo.

Tambah pemain berusia 22 tahun ini, beliau mahu mengukuhkan kedudukan dalam pasukan kebangsaan setelah tampil cemerlang dalam saingan Piala AFF lalu. Hanya saja nasib tidak berpihak kepada Malaysia apabil tunduk kepada Vietnam dalam perlawanan akhir.

“Saya turut teruja apabila diberi kepercayaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya khususnya sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

“Saya harap sokongan yang diberikan dapat diteruskan pada tahun ini dalam misi memartabatkan kembali nama bola sepak negara di pentas antarabangsa,” tambahnya.

Tahun ini, Johor Darul Ta’zim akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Safawi perlu menampilkan persembahan maksimum bagi memastikan kelab-kelab besar di rantau Asia dapat mengesan bakat beliau.

JDT diletakkan dalam kumpulan E disamping kelab Korea, Gyeongnam FC dan dua lagi pasukan akan ditentukan setelah pusingan kelayakan tamat.

Selain misi bersama JDT, tahun ini pasukan bawah 23 tahun negara akan beraksi dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina dan Safawi masih lagi dibenarkan untuk beraksi. Pada pentas final Sukan SEA 2017 lalu, Malaysia tewas kepada Thailand sekaligus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Baca Juga: Diogo Luis Santos Bakal Sertai JDT ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *