Safawi Tetap Fokus Walau Dikritik
- Harimau Malaya
- Dec 4, 2018
- No comment
Pemain sayap sekuad kebangsaan, Safawi Rasid tetap memberikan sepenuh fokus dalam membantu pasukan negara pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 walaupun beliau dikritik di atas persembahan beliau menentang Thailand minggu lalu.
Safawi mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada perlawanan separuh akhir pertama. Namun, percubaan pemain Johor Darul Ta’zim ini tidak menepati sasaran dan melambung tinggi sehinggakan ada komen yang menyatakan sepakan Safawi sudah sampai planet Pluto.
Meskipun dikritik hebat, namun Pawi tetap menerimanya dengan hati yang terbuka dan menjadikan kritikan sebagai pembakar semangat untuk menampilkan aksi yang lebih cemerlang pada perlawanan di Stadium Rajamangala esok.
“Bagi saya benda itu (kritikan) tak ada masalah dan saya juga tidak kecewa. Bagi saya, itu motivasi untuk tingkatkan permainan lepas ini terutama dari segi penyudah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pawi menjelaskan beliau sudah memberikan segalanya pada perlawanan di Bukit Jalin minggu lalu. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi beliau untuk menjaringkan gol pertama dalam saingan Piala AFF Suzuki.
“Saya sebelum ini sudah banyak buat latihan tambahan dengan menekankan aspek rembatan dan sepakan percuma. Mungkin rezeki belum ada lagi.
“Mungkin juga rezeki saya hadir pada 5 haribulan nanti (menentang Thailand). Mungkin dapat jaringkan gol dan masuk final,” tambahnya.
Untuk melangkah ke perlawanan akhir, pasukan negara memerlukan keputusan seri 1-1 sekaligus memanfaatkan peraturan gol di tempat lawan. Tugas sukar sememangnya menanti para pemain negara kerana pasukan Thailand beraksi dengan baik apabila bermain di laman sendiri. Tambahan pula, Stadium Rajamangala merupakan gelanggang keramat mereka.
Apa yang pasti, jika para pemain berjaya mengekalkan momentum sepertimana pada perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu, tiada apa yang mustahil buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe dan mereka boleh mengejutkan juara lima kalu kejohanan itu.
Kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir ialah pada edisi 2014 dimana pasukan bimbingan Dollah Salleh ketika itu tewas kepada Thailand dengan keputusan 4-3 secara agregat.
Baca Juga: Sumareh Mungkin Terlepas Aksi Menentang Thailand