Safiq Dan Shukor Berminat Sertai MU

Dua bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim dan Shukor Adan dikhabarkan berminat untuk menyertai pasukan Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim sambil mengatakan pemain berasal dari Melaka dan Kuala Selangor itu telah menyuarakan hasrat mereka beberapa hari lalu bagi memperkukuhkan lagi pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan.

“Mereka ada menyatakan minat, sama ada keduanya akan diambil Melaka terserah pada Zainal.

“Namun, ada juga cadangan dari bahagian pengurusan untuk mendapatkan khidmat mereka berdasarkan kepakaran dan pengalaman dimiliki,” katanya menurut laporan Melaka Kini.

Safiq seperti sedia maklum telah berpisah dengan Johor Darul Ta’zim setelah lima musim beraksi bersama juara Liga Super 2018 dan juara Piala AFC 2015 itu.

Manakala Shukor Adan pula masa depannya bersama juara Liga Perdana 2018,Felda United masih belum jelas dimana ketua jurulatih pasukan, Nidzam Jamil juga belum memberi kata putus mengenai masa depan ketua pasukan Felda ini.

Shukor sebelum ini pernah beraksi bersama Melaka namun di peringkat belia dan belum pernah memenangi sebarang kejuaraan bersama skuad senior.

Melaka sebelum ini pernah mengambil khidmat beberapa bekas pemain Johor Darul Ta’zim antaranya Amri Yahyah pada musim 2017, Syahrul Azwari, R.Gopinathan dan S.Chanturu bagi saingan musim 2018.

Jika benar Safiq dan Shukor menyertai pasukan Melaka, maka juara Liga Perdana 2016 ini mampu untuk memperkemaskan lagi pasukan mereka kerana pengalaman yang dimiliki oleh kedua-dua pemain dilihat masih lagi mampu untuk membantu Melaka United.

Kejuaraan serta beraksi di peringkat tertinggi merupakan bukti nyata tentang kredibiliti yang dimiliki oleh pemain berusia 30 tahun dan 39 tahun ini.

Baca Juga: Malaysia Tak Rela

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *