Safiq Rahim Kembali Ke Lembah Klang ?

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim dikhabarkan akan menyertai salah satu pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang bagi saingan musim hadapan. Khabar angin ini sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Setelah kehilangan tempat dalam kesebelasan utama JDT sejak diambil alih oleh Raul Longhi pada awal saingan musim ini, masa depan Safiq bersama juara Liga Super 5 kali berturut-turut itu mula menjadi tanda tanya di kalangan penyokong.

Bukan saja kehilangan tempat dalam kesebelasan utama, bekas pemain Selangor ini turut kehilangan jawatan ketua pasukan apabila Longhi ketika itu lebih gemar memberikan lilitan kapten kepada pemain import, Harris Harun.

Jika melihat kepada situasi semasa, berkemungkinan besar Safiq akan meninggalkan JDT dan mencari cabaran baru dengan beraksi bersama pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia. Dan jika benar beliau mahu beraksi bersama pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, hanya ada tiga pasukan yang dilihat sebagai destinasi yang sesuai bagi Safiq.

Tiga pasukan yang dimaksudkan ialah pasukan PKNS FC, Selangor, dan seteru Lembah Klang mereka iaitu Kuala Lumpur. PKNS FC, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya mengekalkan status mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan dan perkara ini dilihat menjadi salah satu faktor yang akan menarik minat Safiq untuk beraksi bersama salah satu pasukan ini.

Selangor yang kini di bawah pengurusan baru sudah pasti mahu mencari pemain bagi mengukuhkan pasukan bagi menghadapi cabaran musim 2019. Pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh Safiq mampu untuk mengukuhkan lagi bahagian tengah pasukan Selangor.

PKNS FC pula dibimbing oleh jurulatih yang menaikkan nama Safiq Rahim ketika beliau beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun dan senior iaitu Datuk K.Rajagopal.

Apa yang pasti, Safiq Rahim masih mampu untuk menyumbangkan sesuatu kepada pasukan yang bakal disertai oleh beliau pada saingan musim hadapan.

Apa pendapat anda mengenai masa depan Safiq Rahim bersama pasukan Johor Darul Ta’zim ? Adakah beliau akan berhijrah atau kekal bersama JDT ?

Jika beliau memilih untuk berhijrah ke Lembah Klang, pasukan manakah yang sesuai dengan corak serta gaya permainan beliau ?

Baca Juga: Akram Mahinan Kembali Ke Selatan ?

Leave a comment

Your email address will not be published.