Sathia Serah Nasib Kepada Pihak Pengurusan

Ketua jurulatih pasukan Felda United, B.Sathianathan menyerahkan sepenuhnya nasib beliau kepada pihak pengurusan setelah Felda tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2018 apabila tewas kepada Terengganu FC semalam.

Sathia berkata beliau masih lagi berminat untuk membimbing Felda namun segala keputusan terletak di tangan pihak pengurusan.

“Secara amnya saya sudah berbincang dengan pengurusan mengenai kontrak, namun keputusan belum muktamad lagi kerana ada beberapa perkara yang perlu dirunding lagi.

“Oleh itu saya perlu tunggu pengurusan sama ada ingin mengekalkan saya atau tidak. Itu terpulang kepada FELDA kerana kontrak saya tamat pada November ini biarpun saya gembira bersama FELDA kerana tiada masalah gaji, ada bonus, ada kemudahan padang untuk berlatih dan mereka (pengurusan) layan kami dengan baik serta tiada campur tangan pihak atasan, malah pengurusan FELDA hebat,” kata Sathia kepada Berita Harian.

Mengulas mengenai kekalahan semalam, Sathia melontarkan pujian kepada anak-anak buah beliau yang menampilkan aksi bertenaga walaupun ketinggalan.

“Pemain kami dua kali mendahului, tapi kami kurang bernasib akhirnya tewas, namun saya ucap tahniah kepada pemain walaupun tiada beberapa pemain utama mereka masih mampu beraksi dengan baik, malah kami menguasai permainan.

“Banyak peluang dicipta terutama pada babak pertama, tapi pemain gagal menterjemahkan peluang itu dengan gol biarpun aksi mereka mengagumkan.

“Namun hasil kesilapan mental yang tidak aktif serta pemain cuai terutama selepas mendahului 3-2, lawan mengambil kesempatan untuk menang,” kata Sathia.

Kami berpendapat Felda wajar untuk mengekalkan Sathia sebagai pengendali pasukan di atas pencapaian cemerlang menjadi juara Liga Perdana musim 2018 sekaligus kembali ke saingan Liga Super musim hadapan.

Pemain juga dilihat sudah sebati dan selesa dengan corak permainan yang digunakan oleh Sathia.

Apa pendapat anda mengenai masa depan B.Sathianathan bersama pasukan Felda United musim hadapan? Wajarkah beliau dikekalkan sebagai pengendali pasukan?

Atau beliau patut diganti dengan jurulatih yang lebih berkaliber sekaligus memberikan lebih banyak kejayaan pada pasukan Felda United?

Baca Juga: B. Sathianathan Mencari Formula Terbaik

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *