Satu Penghinaan Kepada Liga Malaysia ?

Kita sudah sedia maklum pasukan Marcerra dan Kuantan Marcerra sedang mengalami masalah kewangan ketika ini. Ketika perlawanan Liga FAM antara Marcerra United menentang D’AR Wanderers semalam, Marcerra hanya mampu untuk menurunkan seramai 8 pemain dalam kesebelasan utama mereka. Adakah tindakan Marcerra ini boleh dianggap satu penghinaan kepada Liga Malaysia ?

Sebab utama Marcerra terpaksa menurunkan 8 pemain dalam kesebelasan utama adalah kerana mereka tidak mempunyai bilangan pemain yang cukup untuk menghadapi D’AR Wanderers semalam. Pemain Marcerra dikhabarkan sudah empat bulan tidak mendapat gaji. Mungkin kerana isu gaji ini, beberapa pemain enggan bermain untuk pasukan dan ada juga yang memutuskan untuk angkat kaki bagi mencari pasukan lain.

Dalam undang-undang yang sudah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sesebuah pasukan haruslah menurunkan minimun 7 pemain dalam kesebelasan mereka. Jika gagal, maka perlawanan tidak akan diteruskan dan pasukan lawan akan diberikan kemenangan percuma 3-0. Dalam perlawanan semalam, mujur Marcerra masih lagi mempunyai 8 pemain untuk diturunkan.

Dan tampilnya 8 pemain pada perlawanan semaam juga menimbulkan tanda tanya dikalangan peminat. Adakah 8 orang ini masih lagi bermain untuk pasukan kerana mereka menerima gaji ? Ataupun mereka bermain hanya kerana passion semata-mata ? Hanya pihak Marcerra saja yang tahu tentang perkara ini.

Walau apa pun, kami berharap penaja baru yang dikhabarkan berminat untuk menaja Marcerra dapat menyelesaikan masalah gaji yang sedang menimpa pasukan ketika ini. Jika masalah gaji ini dapat diselesaikan, maka para pemain dan juga pegawai pasukan bolehlah menumpukan sepenuh perhatian mereka terhadap prestasi pasukan.

Apa pendapat anda mengenai pasukan Marcerra United yang hanya mampu untuk menurunkan seramai 8 pemain dalam kesebelasan utama mereka ? Adakah tindakan mereka ini boleh dikategorikan sebagai penghinaan kepada Liga Malaysia ?

Atau anda memuji tindakan Marcerra United ini yang masih lagi menurunkan pemain walaupun mereka menghadapi banyak masalah dalaman ? Mari kongsikan pandangan anda bersama kami.

Baca Juga: Jadikan Kuantan FA Sebagai Pengajaran

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *