Sejauh Mana Pasukan Baru Akan Bertahan ?
- Lain-lain
- Jan 15, 2018
- No comment
Saban tahun Liga Malaysia akan kedatangan pasukan-pasukan baru yang menyertai saingan Liga FAM. Seperti contoh, pada musim 2016, PKNP FC, DYS FC, SAMB FC, KDMM FC dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan atau yang lebih dikenali sebagai MPKB-BRI U-BeS F.C menyertai Liga FAM pada musim itu. Pada musim lalu, pasukan dari Terengganu iaitu Terengganu City FC menyertai Liga FAM. Musim 2018 pula Liga FAM akan kedatangan dua pasukan baru iaitu Marcerra United dan D’AR Wanderers. Di sini kami mempunyai persoalan, sejauh mana pasukan baru dapat bertahan dalam saingan Liga Malaysia yang kejam ini ?
Tidak semua pasukan yang disebutkan di atas dapat bertahan lama. Pasukan DYS FC menarik diri sebelum saingan Liga FAM musim 2017 bermula. Bagi saingan musim 2018 pula, SAMB FC dan Sime Darby FC menarik diri. Di sini terdapat beberapa faktor mengapa mereka menarik diri. Antara faktor utama mengapa pasukan ini menarik diri adalah kegagalan pasukan untuk mempunyai “fan base” yang kukuh. Peminat adalah salah satu aset yang paling penting kepada pasukan. Merekalah yanga akan datang ke stadium dan membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan anda. Peminat akan memberi sokongan kepada pasukan dan mereka akan membeli barangan keluaran pasukan anda seperti jersi, selendang dan cawan sebagai contoh bagi memperkuat kewangan pasukan. Jika anda gagal untuk menarik mereka, sudah pasti pasukan anda tidak akan dapat bertahan lama.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil pihak kelab untuk menarik peminat baru. Kelab haruslah menyediakan maklumat terperinci tentang pasukan mereka agar mudah bagi peminat baru untuk mengetahui tentang pasukan yang ingin disokong. Maklumat seperti dimana mereka akan berlatih dan juga stadium yang digunakan untuk hari perlawanan. Selain itu, kelab juga boleh menggunakan platform media sosial bagi memperkenalkan kelab mereka kepada komuniti bola sepak. Langkah terakhir yang boleh digunakan oleh pihak kelab adalah membuat aktiviti bola sepak di kawasan “base” anda. Seperti contoh, jika “base” kelab di Shah Alam, pihak kelab boleh membuat proses pemilihan terbuka bagi warga Shah Alam untuk menyertai pasukan mereka. Dengan ini, peluang untuk kelab untuk mempunyai “fan base” di Shah Alam akan lebih cerah.
Adakah Marcerra United dan D’AR Wanderers mampu bertahan daripada lingkup ? Bergantung kepada usaha mereka untuk menarik peminat bagi datang ke stadium dan membeli produk keluaran mereka bagi mempunyai kewangan yang kukuh. Jika mereka berjaya melakukan itu, maka peluang mereka untuk wujud lebih lama semakin tinggi.
Menurut anda, mampukah Marcerra United dan D’AR Wanderers bertahan ? Atau mereka akan menjadi sebahagian pasukan yang menarik diri daripada Liga Malaysia ? Kongsikan pendapat anda.