Selamat Tinggal Negeri Sembilan ?

Negeri Sembilan mempunyai peluang terakhir untuk menyelamatkan nasib mereka dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka bakal menentang pasukan Selangor di Paroi malam ini. Jika tewas, maka mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super.

Musim 2018 merupakan musim yang mahu segera dilupakan oleh peminat dan juga pasukan Negeri Sembilan. Setelah lama tidak beraksi dalam saingan tertinggi Liga Malaysia itu, Negeri Sembilan harus menelah kenyataan pahit yang mereka mempunyai peluang tipis untuk kekal dan bakal kembali ke saingan Liga Perdana musim hadapan.

Pertukaran ketua jurulatih dan juga kegagalan untuk mencari pemain yang mempunyai kebolehan untuk mencipta impak merupakan faktor utama mengapa Negeri Sembilan gagal untuk bersaing musim ini. Selain itu, kegagalan untuk mengekalkan rentak juga menjadi antara faktor.

Menentang pasukan Selangor malam ini, apa yang perlu dilakukan Negeri Sembilan ialah menurunkan kesebelasan terbaik mereka dan terus mengasak kubu pertahanan lawan bagi mendapatkan jaringan. Para pemain tidak boleh leka terutamanya dalam mengawal penyerang import Selangor, Rufino Segovia yang ketika ini berjaya menjaringkan 17 gol dalam saingan Liga.

Bagi pasukan Selangor pula, kemenangan akan memastikan status mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan terjamin. Ketika ini, pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir menghuni tangga kelapan dengan kutipan 21 mata.

Gergasi Merah sudah pasti akan mengharapkan penyerang paling subur dalam saingan Liga Super, Rufino Segovia untuk merobek gawang Negeri Sembilan sekaligus menghantar anak-anak buah Mario Lemos kembali ke Liga Perdana.

Tiada jalan lain bagi Negeri Sembila selain mencatat kemenangan malam ini bagi mengelakkan mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super dengan lebih awal. Para pemain wajib untuk mengeluarkan segala yang mereka ada bagi memastikan peluang untuk kekal masih lagi terbuka.

Apa pendapat anda mengenai peluang Negeri Sembilan untuk mencatat kemenangan apabila mereka menentang pasukan Selangor malam ini ? Adakah keajaiban akan berpihak kepada pasukan bimbingan Mario Lemos ?

Baca Juga: Negeri Sembilan Semakin Hampir Ke Liga Perdana

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *