Selangor Umumkan Kerjasama Bersama Joma
- Liga Super
- Dec 7, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan mereka mendapat tajaan daripada jenama sukan antarabangsa, Joma dari Sepanyol untuk menjadi pembekal rasmi jersi skuad Gergasi Merah selama 3 tahun.
Kerjasama ini diumumkan oleh FAS di laman media sosial rasmi pasukan dan juga laman sesawang mereka.
Suka cita kami umumkan, jenama sukan antarabangsa, Joma dari Sepanyol adalah penaja baru skuad Gergasi Merah.
Semenjak 1965, Joma boleh didapati di lebih 70 negara, membekalkan jersi kepada pasukan seluruh dunia termasuk Swansea City, Getafe, Villareal, Romania dan ramai lagi. pic.twitter.com/Y2QSXsjmS8
— FA Selangor (@FASelangorMy) December 6, 2018
Dikhabarkan nilai tajaan yang diberikan oleh Joma ialah sebesar RM2 Juta setahun. Penajaan akan meliputi set jersi sepenuhnya untuk skuad Liga Super, skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad bawah 17-tahun, skuad futsal lelaki dan wanita termasuk set latihan.
Tajaan Joma juga meliputi pakaian kepada kesemua pengadil Liga FAS termasuk pakaian kasual perjalanan dan penajaan tunai.
Menurut David Wong, Pengarah Urusan Ganador Marketing Sdn.Bhd. yang juga pengedar tunggal jenama Joma di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand pihaknya berbangga dapat terpilih untuk menjadi penaja kepada pasukan Selangor.
“Kami amat berbangga kerana terpilih untuk menjadi penaja pasukan Selangor yang mempunyai sejarah kejayaan yang hebat dalam industri sukan bola sepak di negara ini.
“Kami juga percaya dengan misi dan visi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj termasuk pengurusan yang baru dan dinamik, baginda mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri Selangor,” kata David.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon pula berkata “Persatuan Bolasepak Selangor amat berterima kasih kepada pihak Joma kerana telah bersetuju untuk menjadi penaja Selangor dan kami berkeyakinan penyokong Selangor akan berpuas hati dengan kualiti dan harga jersi yang akan dipasarkan kepada penyokong nanti”.
Selama tiga musim sebelum ini, jersi rasmi pasukan Selangor ditaja oleh jenama sukan antarabangsa dari Itali iaitu Lotto.
Baca Juga: Syahmi Safari Juga Hero Pasukan Negara