“Semua Pasukan Sokong, Kenapa Bising Lagi ?”
- Liga Super
- Jul 17, 2018
- No comment
Kecoh bola sepak Malaysia ketika ini dimana peminat nampaknya sudah tidak boleh sabar dengan tindakan MFL yang mengubah jadual perlawanan Liga Super. Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards tampil dengan penjelasan bahawa perubahan jadual tersebut sudah dipersetujui oleh semua pasukan Liga Super.
Menerusi laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers, Alistair menyatakan semua pasukan telah bersetuju ketika MFL meminta pandangan semua pasukan ketika JDT memohon untuk membuat pertukaran perlawanan menentang Kelantan kepada hari Jumaat setelah jadual asal perlawanan tersebut diadakan pada hari bekerja.
Tujuan JDT berbuat demikian adalah kerana penyokong setia mereka meminta perlawanan tersebut untuk ditukar kepada hari Jumaat. Tambah Alistair, selain meminta kebenaran semua pasukan, JDT turut meminta kebenaran kepada pasukan lawan yang akan menentang mereka dan pasukan tersebut telah bersetuju dengan permintaan JDT.
Alistair Edwards juga hairan dengan tindakan penyokong yang mempertikaikan keputusan MFL sekaligus menyerang MFL di laman media sosial mereka. Laman media sosial MFL terutamanya Twitter mereka kini sedang hangat menjadi sasaran peminat yang tidak berpuas hati terhadap mereka.
Jika kita perhalusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Edwards, peminat yang mengkritik MFL tentang pertukaran jadual Liga tidak harus mengkritik MFL sahaja tetapi pasukan mereka juga wajar untuk dipersalahkan.
Mengapa pasukan tersebut dengan senang memberi laluan kepada pasukan lain untuk menukar jadual Liga ? Walhal mereka sudah sedar bahawa pertukaran jadual hanya akan menyusahkan pasukan ? Itu anda kena tanya pada pengurusan pasukan anda.
Apa yang pasti, penulis berharap tiada lagi pertukaran jadual seperti sebelum ini pada musim-musim yang akan datang. Banyak pihak yang rugi dengan pertukaran jadual ini terutamanya peminat yang sudah mengambil cuti, menempah bilik hotel dan juga menempah tiket pengangkutan untuk berawayday menyaksikan pasukan kesayangan beraksi.
Pengelola Liga Malaysia Football League (MFL) boleh mengambil ikhtibar daripada kejadian ini dan menjadikan Liga Malaysia ini lebih maju lagi pada masa akan datang.
Baca Juga: Selangor Bakal Dikenakan Tindakan