Shahrel Fikri Calon Sesuai Ganti Safawi

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memutuskan untuk memberikan pelepasan kepada empat pemain iaitu Rizal Ghazali, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin bagi mendapatkan rehat setelah aksi Sukan Asia 2018 dan menjalani tempoh pemulihan daripada kecederaan. Di sini, kami berpendapat Shahrel Fikri merupakan calon yang sesuai untuk mengisi posisi sayap kanan yang ditinggalkan Safawi.

Cheng Hoe memberikan pelepasan kepada Safawi dan Adam kerana kedua-dua pemain ini telah beraksi dalam banyak perlawanan. Manakala Syafiq Ahmad pula meminta pelepasan kerana beliau baru sahaja menimang cahaya mata.

Dengan ketiadaan Safawi, skuad negara kini mempunyai Akhyar Rashid, Norshahrul Idlan Talaha dan Shahrel Fikri yang mampu untuk beraksi sebagai pemain sayap. Akhyar dilihat sudah pasti bakal mengisi posisi sayap kiri pasukan. Di posisi sayap kanan, Mat Yo dan Shahrel akan bersaing bagi mengisi posisi tersebut.

Kami berpendapat Shahrel merupakan calon yang sesuai kerana beliau beraksi dengan baik sewaktu mewakili PKNP FC dalam saingan Liga Malaysia. Bagi musim 2018, Shahrel berjaya menjaringkan 5 gol dalam saingan Liga Super apabila diletakkan di posisi tersebut sebelum menyertai Nakhon Ratchasima pada pertengahan musim. Bersama Nakhon, Shahrel diletakkan sebagai penyerang utama pasukan.

Apa yang pasti, jika Shahrel diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Taiwan, ini merupakan peluang keemasan bagi bekas ketua pasukan PKNP FC ini untuk membuktikan bahawa beliau sudah bersedia untuk menggalas cabaran beraksi bersama pasukan negara. Selain itu, Eki boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari ketika beraksi bersama Nakhon dalam saingan Thai League 1.

Tan Cheng Hoe membawa 23 pemain bagi menghadapi Taiwan dan juga Kemboja pada 7 dan 10 September ini. Meskipun kehilangan tonggak utama pasukan, beliau yakin dengan kemampuan pemain sedia ada dan mahukan mereka untuk menampilkan aksi terbaik.

Apa pendapat anda mengenai ketiadaan Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad yang diberikan pelepasan oleh Tan Cheng Hoe ? Adakah ketiadaan mereka akan memberi kesan kepada corak permainan pasukan negara ?

Baca Juga: Dimana Hadi Fayyadh Akan Beraksi Selepas Ini ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *