Shahrel Fikri Mampu Jadi Senjata Berbahaya
- Harimau Malaya
- Nov 27, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)FC, Abu Bakar Fadzim berpendapat kelibat Shahrel Fikri dalam kesebelasan utama pasukan negara mampu untuk menjadi senjata utama ketika berhadapan dengan pasukan Thailand.
Shahrel beraksi dengan kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC secara pinjaman selama lima bulan dan pengalaman beliau beraksi di Thai League 1 boleh dimanfaatkan bagi mengenal pasti kelemahan pasukan Gajah Putih itu.
“Eki ada senjata tersendiri dalam menyerang dan tidak dinafikan beliau juga sering memberi keputusan positif apabila diturunkan. Kelebihan Eki dalam aksi berdepan Thailand adalah beliau sedikit sebanyak tahu corak permainan Thailand dan tahu kelebihan pemain lawan,” katanya menurut laporan FoxSport Asia.
Meskipun merasakan Shahrel wajar berada dalam kesebelasan utama berdasarkan pengalaman Eki beraksi di Thailand, namun jurulatih yang akrab disapa Burn ini meletakkan kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe untuk mengendalikan pasukan.
“Cheng Hoe adalah ketua jurulatih dan segala keputusan biar beliau putuskan. Terpulang kepada beliau sama ada inginkan Eki sebagai pemain utama atau pemain gantian. Apa yang penting skuad negara perlu bermain sebagai satu pasukan jika ingin mengatasi Thailand nanti,” tambah Abu Bakar.
Setakat ini, Shahrel hanya sekali saja diturunkan dalam kesebelasan utama lebih tepatnya ketika Malaysia bertandang ke Hanoi bagi menghadapi pasukan Vietnam. Bekas penyerang PKNP FC ini juga masih belum menjaringkan jaringan setelah empat perlawanan.
Apa yang pasti, jika Shahrel diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu ini, diharapkan beliau dapat menggunakan segala pengalaman yang diperoleh semasa beraksi bersama Nakhon untuk memberikan kelebihan awal buat pasukan negara.
Malaysia akan menerima kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini sebelum turun berentap di Stadium Rajamangala untuk separuh akhir kedua pada 5 Disember nanti.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki edisi 2014 dimana Malaysia tewas dengan keputusan 4-3 secara agregat.
Baca Juga: Tan Cheng Hoe Kaji Corak Permainan Thailand