Shahrul Saad Sedia Kawal Adisak Kraisorn

Pemain pertahanan pasukan negara, Shahrul Saad mengatakan beliau sudah bersedia untuk mengekang pergerakan penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok.

Menurut Shahrul, beliau yakin dapat membentuk gandingan mantap bersama Aidil Zafuan bagi memastikan penyerang Muanthong United ini tidak bergerak bebas sekaligus memporak-porandakan benteng pertahanan negara.

“Buat masa ini jurulatih belum maklumkan lagi siapa yang akan jaga Adisak. Tapi sudah semestinya kita kena jaga dia kerana kita tahu dia penjaring terbanyak.

“Jika diberi tugas untuk menjaga dia sekalipun, Insya-Allah saya bersedia dan akan cuba melakukan tugas itu sebaik mungkin,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tambah ketua pasukan Perak ini, bukan sahaja Adisak Kraisorn yang perlu diberikan perhatian yang lebih malah pemain yang lain turut mempunyai kemampuan untuk membuatkan pasukan negara berputih mata.

“Namun, bukan dia saja perlu diberi perhatian kerana ada beberapa lagi pemain Thailand yang mempunyai kemahiran dan teknik yang baik di bahagian serangan.”

Bahagian pertahanan skuad Harimau Malaya yang diisi oleh Shahrul dan juga Aidil menampilkan aksi yang cemerlang pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dimana Malaysia menewaskan pasukan Myanmar dengan keputusan 3-0 minggu lalu.

Tambah Shahrul, sekiranya beliau dan Aidil Zafuan mengekalkan prestasi semasa, tiada masalah untuk benteng pertahanan negara daripada mengekang asakan barisan serangan skuad Gajah Perang sekaligus memperoleh bekalan selesa.

“Saya dan Aidil perlu mempertingkatkan lagi persembahan untuk jumpa Thailand, mungkin perlu tampil dengan prestasi lebih baik berbanding masa lawan Myanmar.

“Kami perlu perbaiki lagi beberapa kelemahan bagi mengelak sebarang masalah berdepan Thailand. Apa yang penting kami perlu mengikut segala perancangan jurulatih,” katanya.

Penting untuk Malaysia memperoleh bekalan selesa pada perlawanan pertama bagi memberikan sedikit kelebihan menjelang perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok pada 5 Disember nanti.

Kita sudah sedia maklum Thailand adalah satu pasukan yang kuat dan mereka juga tidak akan membiarkan Malaysia menekan mereka.

Baca Juga: Tiada Rasa Gentar – Syamer Kutty Abba

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *