Shakir Shaari: Dimana Silapnya ?

Ketika zaman kegemilangan skuad kebangsaan pada 2009 hingga 2012, pemain ini dilabel sebagai pemain tengah terbaik yang dimiliki negara ketika itu. Gandingan beliau bersama seorang lagi pemain tengah berbakat, Safiq Rahim di bahagian tengah menjadi penyumbang besar kepada prestasi cemerlang skuad negara. Pemain manakah yang kami maksudkan ? Dia adalah Shakir Shaari. Di sini kami ingin membincangkan tentang dimana silapnya perjalanan karier pemain ini.

Shakir Shaari memulakan karier profesional beliau bersama pasukan Selangor MBPJ pada 2005. Setelah tempoh beliau bersama MBPJ tamat, Shakir menyertai UPB My-Team pada 2006 hingga 2009. Setelah pasukan UPB My-Team menarik diri kerana masalah kewangan, Shakir menyertai pasukan Kelantan pada musim 2009. Di sinilah beliau mula menempa nama sebagai pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia. Tempoh Shakir selama 4 musim bersama Kelantan nyata diwarnai dengan pelbagai kejayaan. Tetapi yang paling diingati adalah “treble” ketika musim 2012. Setelah bersama Kelantan selama 4 musim, Shakir menyertai pasukan penuh bintang ketika itu, Johor Darul Ta’zim pada 2014. Di sinilah titik dimana karier Shakir mula merudum.

Namun, tempoh Shakir bersama JDT tidaklah semanis yang diharapkan. Shakir dilihat sukar untuk menembusi kesebelasan utama JDT. Barisan tengah ketika itu diisi oleh Safiq Rahim dan Harris Harun. Shakir hanya dijadikan pilihan kedua atau ketiga dibelakang Safiq dan juga Harris. Corak ini berterusan hinggalah beliau digugurkan daripada skuad utama JDT dan diturunkan pangkat ke JDT II.

Mengapa perkara sebegini berlaku ? Pemain yang dulunya kita canang sebagai antara pemain tengah terbaik yang kita ada, secara drastiknya kita jarang melihat beliau beraksi dalam kesebelasan utama. Perkara ini boleh dielakkan jika Shakir memilih untuk mencari pasukan yang boleh menjanjikan beliau tampil dalam kesebelasan utama. Tetapi mengapa beliau tidak berbuat sedemikian ? Mengapa beliau masih lagi di situ walhal beliau sedar yang beliau hanya menjadi pilihan kedua atau ketiga ?

Mungkin beliau lebih mementingkan wang ringgit dengan kekal bersama berbanding “passion” dan juga cinta terhadap bola sepak itu sendiri, MUNGKIN. Walau apapun, kami ucapkan selamat berjaya bersama JDT II. Semoga anda berjaya mendapatkan semula rentak cemerlang anda seperti sedia kala.

Baca Juga: Masih Adakah Sinar Buat Rozaimi ?

Baca lebih lanjut mengenai Shakir Shaari di JDT II di sini

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *