Siapa Yang Layak Mengisi Jentera Tengah Pasukan Negara ?

Skuad kebangsaan mahu meneruskan rentak kemenangan apabila menentang pasukan Taiwan dan Kemboja dalam satu perlawanan persahabatan. Untuk dua perlawanan ini, pemain manakah yang sesuai untuk mengisi jentera tengah pasukan negara ?

Ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe membawa tujuh pemain tengah bagi menghadapi pasukan Taiwan dan Kemboja. Dalam tujuh pemain yang dibawa, Nasir Basharuddin, Azzizan Nordin dan Nik Akif Syahiran merupakan pemain yang pertama kali beraksi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Pada dua perlawanan persahabatan terakhir, Cheng Hoe menurunkan Nazmi Faiz Mansor sebagai perancang dan dilindungi oleh Mahali Jasuli dan Akram Mahinan yang mengisi posisi pemain tengah bertahan.

Pada perlawanan menentang Fiji, Cheng Hoe sekali lagi menurunkan Nazmi Faiz dan Akram di bahagian tengah. Kali ini, Irfan Zakaria dibawa masuk bagi menggantikan Mahali Jasuli.

Nazmi dan Akram beraksi dengan baik pada dua perlawanan tersebut. Nazmi cemerlang dalam merancang gerakan serangan pasukan negara manakala Akram pula menampilkan aksi yang baik dalam memberikan perlindungan kepada Nazmi serta barisan pertahanan.

Kami berpendapat Tan Cheng Hoe boleh mengekalkan Nazmi Faiz Mansor dan Akram Mahinan di jentera tengah pasukan negara pada dua perlawanan persahabatan yang akan dihadapi nanti. Apa yang tinggal adalah Cheng Hoe perlu mencari gandingan kepada Akram bagi memberikan perlindungan kepada Nazmi sewaktu beliau naik ke atas bagi membantu barisan serangan dan juga kepada bahagian pertahanan negara.

Nasir Basharuddin, Mahali Jasuli dan Azzizan Nordin merupakan pemain yang dilihat sesuai untuk digandingkan dengan Akram. Ketiga-tiga pemain ini menampilkan persembahan yang baik bersama pasukan negeri dan kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Apa pendapat anda mengenai pemain mana yang sesuai untuk mengisi jentera tengah pasukan negara pada dua perlawanan persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja ? Adakah Tan Cheng Hoe perlu mengekalkan pemain yang diturunkan pada dua perlawanan persahabatan terakhir ?

Atau bekas ketua jurulatih Kedah ini perlu menurunkan pemain baharu di posisi tersebut ?

Baca Juga: Gandingan Irfan Dan Shahrul Pilihan Tan Cheng Hoe ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *