Siapakah Fajr Ibrahim Ini ?
- Liga Super
- Feb 24, 2018
- No comment
Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim disebut-sebut bakal menjadi ketua jurulatih pasukan Kelantan yang baru bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Sathit Bensoh. Kali terakhir jurulatih yang berasal dari Syria berusia 53 tahun ini menjadi ketua jurulatih adalah pada musim lalu apabila beliau membimbing pasukan dari Iraq, Al-Minaa FC. Mari kita selidiki sedikit-sebanyak tentang siapa Fajr Ibrahim ini.
Fajr Ibrahim menghabiskan karier bola sepak profesional beliau bersama satu pasukan saja iaitu kelab Syria, Al-Wahda SC. Beliau juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Syria di pentas antarabangsa beberapa kali. Setelah bersara dari dunia bola sepak profesional, Fajr menjadi ketua jurulatih bagi pasukan kebangsaan Syria dari tahun 2006 hingga tahun 2010. Al-Shorta SC menjadi pasukan kelab pertama yang dibimbing oleh Fajr. Setelah bersama Al-Shorta, Fajr kemudiannya membimbing pasukan Duhok SC, pasukan kebangsaan Syria sekali lagi dan yang terakhir adalah pasukan Al-Minaa FC.
Apa yang kita lihat di sini adalah Fajr Ibrahim menghabiskan karier kejurulatihan beliau setakat ini bersama pasukan dari negara Timur Tengah. Jika beliau dipilih untuk membimbing pasukan Kelantan kelak, banyak yang perlu beliau pelajari mengenai persekitaran bola sepak Asia Tenggara, terutama sekali Liga Malaysia yang sukar ini. Sudah tentu proses pembelajaran ini akan mengambil sedikit masa. Di sini kami melihat berkemungkinan besar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melihat dari segi pengalaman yang dimiliki oleh Fajr. Mungkin sebab inilah mereka mahukan Fajr untuk membimbing pasukan Kelantan.
Jika benar mereka memilih Fajr, apa yang perlu dilakukan oleh KAFA ialah memberi masa dan juga peluang kepada Fajr untuk menerapkan taktikal beliau. Jangan dilayan seperti Sathit Bensoh. Berikan Fajr lebih banyak permainan dan juga sokongan yang diperlukan. Itu saja yang Fajr perlukan untuk mengendalikan pasukan Kelantan dengan baik.
Apa pendapat anda mengenai berita tentang Fajr Ibrahim yang dikhabarkan akan membimbing pasukan Kelantan ? Adakah beliau individu yang tepat ? Atau Kelantan perlukan individu yang lebih berpengalaman tentang Liga Malaysia ?
Baca Juga: Masa Dan Peluang. Itu Yang Merek Perlukan!