Siapakah Jorge Santos Silva Ini ?
- Liga Super
- May 4, 2018
- No comment
Pasukan Johor Darul Ta’zim sebentar tadi telah mengumumkan pengganti kepada Luciano Figueroa sebagai penyerang import pasukan. Nama Jorge Santos Silva dipilih bagi menggantikan penyerang berusia 37 tahun itu. Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest melalui laman facebook rasmi Johor Southern Tigers sebentar tadi. Mari kita kupas sedikit mengenai pemain ini.
Jorge Santos sudah mewakili lebih daripada 12 kelab sepanjang karier bola sepak profesional beliau setakat ini. Penyerang berusia 31 tahun ini mempunyai ppengalamann luas bermain di negara seperti Brazil, Malta, Korea Selatan, Scotland dan Arab Saudi.
Jorge Santos memiliki rekod jaringan yang tidak menentu dalam karier beliau setakat ini. Rekod jaringan terbaik beliau adalah ketika bermain untuk kelab Al-Batin yang bermain dalam saingan Liga Profesional Arab Saudi dimana Jorge menjaringkan 15 gol musim lalu.
Musim ini, Jorge Silva telah berjaya menjaringkan 11 gol buat Al-Batin dalam saingan Liga. Satu pencapaian yang cukup baik oleh seorang penyerang. Jorge juga berjaya membantu Al-Batin layak ke peringkat separuh akhir saingan King Cup 2018.
Namun, Jorge mempunyai satu corak iaitu beliau gemar untuk berpindah selepas mewakili sesebuah pasukan selama satu musim. Beliau dilihat jarang untuk kekal bersama satu pasukan selama lebih daripada satu musim sepanjang karier beliau. Hanya dengan Al-Batin beliau berjaya berbuat demikian.
Di sini, memandangkan usia Jorge yang telah menginjak 31 tahun, kami berpendapat Jorge adalah satu penyelesaian jangka pendek bagi pasukan Johor Darul Ta’zim. Berkemungkinan besar JDT akan menggunakan penyerang yang usianya lebih muda dari Jorge dan menjadikan penyerang tersebut sebagai penyelesaian jangka panjang pasukan.
Selain Jorge Santos, JDT juga membawa masuk Lucas Ontivero yang akan memperkuatkan Johor Darul Ta’zim II nanti.
Apa pendapat anda mengenai keputusan Johor Darul Ta’zim yang memilih Jorge Santos Silva sebagai pengganti kepada Luciano Figueroa ? Mampukah Jorge Silva menggalas tanggungjawab besar sebagai penggempur utama pasukan JDT dalam saingan Liga Malaysia ?
Baca Juga: Layak Ke Kiko Insa Main JDT ?