Sila Hormati Fajr Ibrahim!

Sila hormati Fajr Ibrahim. Itulah permintaan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan kepada para pemain Kelantan. Bibi juga memberi amaran kepada para pemain agar tidak mensia-siakan kontrak mereka bersama pasukan.

Menurut Bibi Ramjani lagi, para pemain tidak seharusnya membuat boikot sekiranya mereka digugurkan atau tidak diturunkan akibat daripada prestasi yang tidak memuaskan ataupun kerana masalah disiplin para pemain itu sendiri.

Para pemain harus bekerja keras untuk menaikkan prestasi pasukan. Bibi juga memberi amaran bahawa pemain tidak bersikap degil serta mereka harus menunjukkan hormat terhadap Fajr Ibrahim sebagai ketua jurulatih pasukan.

Menurut laporan Fox Sport Asia, Bibi mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas pasukan melepaskan pemain senior seperti Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat. Dan Piya dikatakan menjadi ‘kepala’ dalam usaha protes yang dijalankan oleh para pemain.

Tambah Bibi lagi, pasukan kini sedang berkira-kira untuk melepaskan penyerang import pasukan iaitu Mohammed Ghaddar. Ghaddar dipercayai mengalami kecederaan. Apabila Ghaddar sudah dilepaskan kelak, KAFA tidak perlu membayar pampasan kepada beliau kerana Ghaddar sudah dibayar lebih daripada gaji yang sepatutnya.

Akhir sekali, selain meminta pemain untuk hormati Fajr Ibrahim, Bibi Ramjani mahukan pemain pertahanan import yang baru dibawa masuk, Alaeddine Bouslimi untuk segera mencipta impak di bahagian pertahanan pasukan. Ini kerana Alaeddine merupakan pilihan Fajr Ibrahim sendiri. Jadi beliau mahukan bahagian pertahanan pasukan meningkat prestasinya.

Penulis melihat banyak betul isu dan juga masalah yang melanda pasukan Kelantan musim ini. Bermula dari masalah pemain import hinggalah masalah dalaman dengan pemain tempatan.

Walau apa pun, biarpun pelbagai masalah melanda pasukan, Kelantan harus segera kembali ke prestasi terbaik mereka kerana ketika ini Kelantan berada dalam zon penyingkiran.

Kelantan sudah pasti tidak mahu untuk terjerumus ke saingan Liga Perdana pada musim hadapan. Walaupun bermain dengan dua pemain import sahaja, namun itu bukan alasan bagi para pemain untuk tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka.

Baca Juga: Alaeddine Bouslimi Benteng Baru Pasukan Kelantan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *