Simon McMenemy Berminat Latih Pasukan Liga Malaysia

Ketua jurulatih pasukan Bhayangkara FC, Simon McMenemy menyatakan minat untuk melatih pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini disampaikan oleh seorang ejen tempatan yang mengenali Simon dimana beliau memberitahu kepada kami bahawa jurulatih berusia 40 tahun ini mahu mencari cabaran baharu setelah menjadi jurulatih Bhayangkara selama dua musim.

Sebelum ini, Simon berjaya membimbing pasukan Bhayangkara FC muncul sebagai juara saingan Liga 1 Indonesia pada musim lalu. Bhayangkara dan satu lagi pasukan, Bali United mengutip mata yang sama namun pasukan yang dinaungi oleh Polisi Republik Indonesia (POLRI) ini dinobat sebagai juara menerusi kelebihan jaringan yang dimiliki.

Kunci utama kejayaan Bhayangkara muncul sebagai juara Liga 1 Indonesia musim lalu ialaj Simon berjaya mengadunkan gabungan pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan. Antara watak yang memainkan peranan penting dalam pasukan ialah Evan Dimas Darmono yang kini beraksi bersama pasukan Selangor.

Simon juga mempunyai pengalaman dalam menguruskan pasukan di rantau Asia Tenggara. Sebelum datang ke Indonesia, Simon menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Filipina pada 2010 dimana Simon berjaya membawa The Azkals mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010.

Selain membimbing pasukan kebangsaan Filipina, Simon juga pernah membimbing kelab dalam saingan Liga Vietnam serta Liga Filipina dan kemudiannya membimbing kelab dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Pengalaman yang dimiliki oleh Simon McMenemy dalam arena bola sepak Asia Tenggara sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau sudah cukup arif tentang cabaran dan juga persaingan yanh bakal beliau hadapi.

Kami berpendapat pasukan dalam saingan Liga Malaysia mampu untuk meningkatkan lagi mutu dan juga kualiti permainan pasukan apabila dibimbing oleh Simon. Keupayaan beliau dalam menggabungkan pemain muda dan senior untuk membentuk satu pasukan yang mantap menjadi faktor utama.

Apa pendapat anda mengenai minat yang dinyatakan oleh Simon McMenemy untuk membimbing pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan? Pasukan manakah yang sesuai dengan corak permainan yang digunakan oleh Simon McMenemy?

Baca Juga: Gergasi Merah Akan Dirombak

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *