Sulaiman Hussin Diintai Skuad Warga Kota

Ketua jurulatih pasukan UKM FC, Sulaiman Hussin dikhabarkan menjadi sasaran utama pasukan Kuala Lumpur untuk menjadi pengendali pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

The City Boys dibimbing oleh bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Timor Leste, Fabio Maciel bagi saingan musim 2018. Namun, pengendali kelahiran Brazil ini direhatkan menuju ke akhir persaingan kerana prestasi pasukan yang tidak memuaskan dalam saingan Piala Malaysia dan juga Liga Super.

Meskipun Maciel membimbing Kuala Lumpur memenangi Liga Perdana pada musim 2017, namun pencapaian itu tidak menghalang pengurusan pasukan untuk merehatkan beliau. Posisi yang ditinggalkan Maciel kemudiannya diisi oleh bekas ketua jurulatih DRB-Hicom, Chong Yee Fat.

Setelah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 dan hanya mampu beraksi dalam peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia 2018, kini The City Boys dilihat mahu memulakan musim 2019 dengan nafas baru dan mahu melupakan kenangan pahit musim ini.

Pencapaian Sulaiman Hussin bersama UKM FC musim ini boleh dibanggakan apabila beliau berjaya membimbing The Varsity Boys layak ke perlawanan akhir Piala Cabaran edisi yang pertama. Akan tetapi, UKM terpaksa berputih mata apabila tewas kepada pasukan Terengganu FC II dalam perlawanan akhir.

Dalam saingan Liga Perdana pula, UKM FC menamatkan saingan di tangga ke-7 dengan mengutip 22 mata. Satu pencapaian yang baik memandangkan UKM merupakan pasukan universiti dan sudah pasti mempunyai bajet yang lebih kecil berbanding pasukan lain.

Apa yang pasti, KLFA perlu segera menyelesaikan kemelut yang sedang melanda persatuan itu sebelum melakukan sebarang persediaan dengan melantik ketua jurulatih baru dan membawa masuk pemain.

Kongres ke-31 persatuan itu yang sepatutnya berlangsung pada Ahad lalu diarah untuk ditangguh ke satu tarikh lain oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM), Datuk Zaiton Othman.

Menurut laporan Stadium Astro, KLFA tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana banyak unsur meragukan di sebalik isu penangguhan kongres persatuan itu.

Baca Juga: UKM FC, Dari Liga IPT Ke Piala Cabaran

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *