Sumareh Sertai Kem Latihan Hari Ini

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh akan menyertai kem latihan pusat skuad negara pada hari ini setelah beliau gagal berbuat demikian pada sesi latihan semalam.

Sumareh terus menuju ke Melaka pada malam semalam setelah beliau mendapat pelepasan daripada majikannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP). Pemain naturalisasi pertama Malaysia ini dijangka akan terus menyertai kem latihan pagi ini.

“Saya dalam perjalanan ke Melaka hari ini (semalam). Saya akan menyertai latihan (skuad kebangsaan). Saya boleh bermain dan akan bersama pasukan kebangsaan esok (ke Colombo, 10 Oktober,” kata Sumareh kepada Utusan.

Ketiadaan pemain berusia 26 tahun ini dalam sesi latihan pasukan kebangsaan sebelum ini menjadi tanda tanya dan dikhabarkan beliau belum mendapat pelepasan daripada PBNP.

Ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe nyata senang dengan penyertaan Sumareh dan beliau berpendapat perlawanan menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan adalah pentas yang sesuai untuk menguji Sumareh dan beliau berharap Sumareh dapat menyesuaikan diri bersama pemain lain dengan baik.

Tambah Cheng Hoe lagi, beliau tidak akan mengubah corak permainan yang beliau terapkan sebelum ini dan akan kekal menggunakan corak permainan sedia ada.

“Saya akan kekalkan corak permainan seperti sebelum ini, sudah tentu itu pilihan terbaik,” katanya.

Pasukan kebangsaan akan menjalani latihan terakhir pagi ini sebelum berlepas ke Colombo bagi menghadapi pasukan Sri Lanka pada Jumaat ini. Setelah berjaya menewaskan Kemboja pada perlawanan terakhir, penting untuk pasukan negara mengekalkan momentum kemenangan bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik.

Setelah turun menentang Sri Lanka, anak-anak buah Tan Cheng Hoe akan menentang pasukan Kyrgyztan pada 18 Oktober nanti di Stadium Hang Jebat. Dua perlawanan persahabatan ini diadakan sebagai persediaan untuk mengharungi Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula pada 8 November nanti.

Baca Juga: Kemana Hilangnya Mohamadou Sumareh ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *