Sungguh Kejam Bola Sepak Moden!
- Liga Perdana, Liga Super
- Mar 21, 2018
- No comment
Sungguh kejam bola sepak moden zaman ini. Tanpa diberi ruang, masa dan peluang, seseorang jurulatih dan juga pemain itu akan menjadi sasaran kritikan peminat dan juga pihak pengurusan. Inilah realiti sedih yang berlaku dalam persekitaran Liga Malaysia. Belum sempat kita menuju pertengahan musim, sudah berapa jurulatih yang menjadi mangsa keadaan ini.
Apa yang kita boleh lihat saat ini adalah, peminat sesetengah pasukan Liga Malaysia sangat demanding dan hanya mahukan quick success tanpa memikirkan bagaimana sesebuah pasukan tersebut menuju ke arah kejayaan. Mereka tidak mahu memikirkan tentang berapa lama masa yang diperlukan untuk membentuk satu keserasian dalam pasukan.
Mereka juga tidak mahu memberikan ruang dan peluang kepada jurulatih untuk menerapkan falsafah beliau ke dalam pasukan. Ruang dan peluang yang kami maksudkan di sini ialah lebih banyak perlawanan. Baru saja memasuki 3 atau 4 perlawanan, apabila pasukan gagal untuk meraih kemenangan, mereka ini sudah mendesak pihak pengurusan merehatkan atau menggantikan jurulatih pasukan. Bukan saja jurulatih, pemain sekali!
Mari kita ambil contoh beberapa jurulatih yang menjadi mangsa keadaan ini. Mangsa yang pertama adalah Sathit Bensoh. Beliau dipecat setelah mengendalikan pasukan Kelantan dalam 3 perlawanan Liga. Mangsa yang seterusnya ialah P.Maniam. Meskipun menikmati permulaan yang cemerlang pada dua perlawanan Liga, 3 kekalahan berturut-turut menyebabkan beliau direhatkan.
Ketika ini, peminat Kedah mahukan pihak pengurusan pasukan merehatkan jurulatih pasukan, Ramon Marcote dan penyerang import, Pablo Pallares kerana prestasi yang tidak memuaskan. Mereka yang mahukan Marcote pada awal musim tetapi sekarang mereka yang mahukan Marcote untuk direhatkan.
Jika kita mempunyai mentaliti yang hanya mahukan kejayaan segera tanpa memikirkan pembangunan pasukan menuju ke arah kejayaan yang diinginkan, bila Liga kita ini nak maju ? Pemikiran kita sebagai peminat harus seiring dengan berkembangnya sukan bola sepak itu sendiri. Beri masa, ruang dan juga peluang untuk pasukan mencapai standard yang dimahukan.
Tidak dinafikan kita sebagai peminat mahukan kejayaan buat pasukan kesayangan kita. Namun, semua itu perlukan masa. Bersabar dan berikan sokongan penuh anda kepada pasukan. Nescaya hasilnya akan kelihatan.
Baca Juga: Ketenangan Dan Sokongan, Itu Yang Ramon Perlukan