Syahmi Safari Juga Hero Pasukan Negara

Rakyat Malaysia masih lagi belum move on daripada kejayaan pasukan negara mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki edisi 2018. Menewaskan juara bertahan, Thailand di perlawanan separuh akhir membuatkan kemaraan Malaysia lebih manis dan bermakna.

Dalam kejayaan pasukan negara semalam, penulis berpendapat ada satu pemain yang wajar diangkat sebagai wira kerana persembahan cemerlang beliau berjaya memastikan Malaysia layak ke pentas perlawanan akhir. Pemain yang penulis maksudkan ialah Syahmi Safari.

Siapa sangka anak muda ini akan menjaringkan satu gol di tempat lawan yang sungguh bermakna buat skuad kebangsaan dalam saingan edisi kali ini. Rembatan deras daripada luar kotak penalti pada separuh masa pertama nyata menjadi permulaan kepada mimpi ngeri penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Selain menjaringkan satu wonder goal, Syahmi juga menampilkan aksi yang bertenaga apabila beliau tenang menyekat asakan serangan daripada penyerang Thailand di sebelah kanan pertahanan pasukan.

Selain cemerlang dalam aspek bertahan, pemain Selangor ini turut cemerlang dalam membantu barisan serangan Harimau Malaya dalam mencari jaringan. Syahmi Safari memainkan peranan penting dalam proses pembikinan gol kedua Malaysia yang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Meskipun pemain berusia 19 tahun ini dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan, namun sumbangan beliau sepanjang 90 minit beraksi di atas padang tidak boleh dinafikan. Kerja keras yang ditampilkan sememangnya melayakkan beliau untuk diangkat sebagai wira pasukan negara.

Ketiadaan beliau pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti sudah pasti dirasai. Meskipun begitu, diharapkan pengganti Syahmi, Amirul Azhan Aznan dapat menampilkan aksi terbaik bagi memastikan benteng Malaysia tidak mudah untuk dibolosi pasukan lawan.

Amirul Azhan beraksi dengan baik bersama pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan Malaysia sudah pasti mengharapkan beliau dapat menampilkan aksi yang sama bersama pasukan kebangsaan.

Lawan Malaysia di pentas final nanti akan diadakan pada malam ini sama ada akan berdepan pasukan Vietnam ataupun Filipina.

Baca Juga: KBS Sedia Bantu Penyokong Untuk Awayday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *