Syazwan Andik Jadi Rebutan
- Liga Super
- Jan 10, 2019
- No comment
Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syazwan Andik Ishak hampir pasti meninggalkan pasukan Kuala Lumpur dan beberapa pasukan Liga Malaysia menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain ini.
Selain dikaitkan dengan pasukan Selangor dan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim, Melaka United dikhabarkan bersedia untuk menawarkan kontrak untuk pemain berusia 23 tahun itu.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Syazwan memang berada dalam perancangan ketua jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan bagi menghadapi saingan musim 2019.
“MUSA juga sedia berbincang berkaitan gaji yang ditawarkan kepadanya sesuai dengan kebolehan dan prestasi semasanya.
“Malah kami yakin tawaran terbabit memuaskan untuknya selesa beraksi bersama MU musim ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Nama Syazwan Andik mula menjadi perhatian dimana beliau mengambil langkah berani dengan menyertai Kuala Lumpur setelah memulakan karier bersama Johor Darul Ta’zim. Kecemerlangan pemain yang mesra disapa Pelo ini sepanjang musim 2018 bersama The City Boys menarik perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018.
Bersama skuad Harimau Malaya, Syazwan berjaya mengetepikan pemain senior seperti Nazirul Naim yang lebih berpengalaman daripada beliau untuk membarisi kesebelasan utama pasukan. Pelo tidak menyia-nyiakan peluang yang diberikan apabila beliau menampilkan persembahan cemerlang dan berjaya membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.
Barisan pertahanan Melaka United musim ini dibarisi oleh beberapa pemain senior seperti bekas ketua pasukan Selangor, Razman Roslan dan bekas ketua pasukan Felda United, Shukor Adan. Tambah Datuk Yusoff, pihaknya mahu memperkasakan lagi jentera pertahanan dan memberikan peluang untuk meningkatkan kualiti serta corak permainan Syazwan.
Apa yang pasti, Syazwan perlu menyertai pasukan yang mampu untuk menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama. Ini kerana Syazwan perlu mendapat minit bermain yang cukup bagi memastikan beliau dapat mengekalkan momentum semasa sekaligus membantu pasukan kebangsaan mara ke peringkat yang lebih jauh.
Baca Juga: Barisan Serangan Kedah Harus Diberi Perhatian