Tahyul di Piala Dunia – Suratan dan Kebetulan atau Sejarah Mungkin Berulang
- Piala Dunia
- Jul 2, 2018
- No comment
Empat perlawanan peringkat kalah mati telah berlangung setakat ini. Sebagai penyokong Die
Mannschaft, ketiadaan Jerman di antara 16 negara tersebut adalah sangat mendukacitakan. Mana
tidaknya, kali terakhir mereka gagal layak pun, ayah penulis pun belum lahir lagi.
Di sini, penulis melihat corak negara-negara yang melayakkan diri ke peringkat kalah mati ini seperti berulang tiap tahun sejak Piala Dunia 1994, sehingga penulis berani untuk berkata ini satu tahyul atau khurafat apabila mempercayainya, tapi Tomok pernah berkata, sejarah mungkin berulang.
JUARA BERTAHAN DARI EROPAH AKAN GAGAL
Semenjak sistem 3 mata diperkenalkan, maka setiap juara bertahan dari Eropah akan gagal melepasi
peringkat kumpulan di edisi seterusnya. Kita lihat Perancis, apabila mereka menjuarainya pada tahun 1998 di bumi sendiri, edisi seterusnya mereka akan tersingkir di peringkat kumpulan. Atau juga Itali, Sepanyol dan juga Jerman. Hanya Brazil (juara 1994, naib juara 1998 dan juara 2002, suku akhir 2006) terselamat dari kegagalan.
Jadi negara Eropah mana yang akan menjadi juara tahun ini, bersedialah untuk tersingkir di peringkat kumpulan 4 tahun lagi di Qatar.
NASIB MALANG YANG MELAWAN JUARA BERTAHAN
Penulis merasakan ramai yang tak sedar, sesiapa yang melawan juara bertahan di perlawanan pertama, maka mereka tidak layak ke Piala Dunia pada edisi seterusnya. Tidak percaya ?
• 1994, Jerman (juara bertahan) melawan Bolivia. 1998, Bolivia tidak layak
• 1998, Brazil (juara bertahan) melawan Scotland. 2002, Scotland tidak layak
• 2002, Perancis (juara bertahan) melawan Senegal. 2006, Senegal tidak layak
• 2006, Brazil (juara bertahan) melawan Croatia. 2010, Croatia tidak layak
• 2010, Itali (juara bertahan) melawan Paraguay. 2014, Paraguay tidak layak
• 2014, Sepanyol (juara bertahan) melawan Belanda. 2018, Belanda tidak layak
Jadi, tahun ini Jerman melawan Mexico di perlawanan pertama. Mexico, berhati-hatilah 4 tahun lagi mungkin hanya menonton dari televisyen.
PENGARUH GUARDIOLA
Pep Guardiola menjadi jurulatih sejak 2007 apabila mengendalikan Barcelona B. Pada Piala Dunia
2010, Guardiola yang mengendalikan Barcelona menyaksikan Sepanyol – negara kelab Barcelona menjuarai Piala Dunia. Apabila Guardiola menjadi jurulatih Bayern Munich tahun 2013, dia menyaksikan Jerman – negara kelab Bayern Munich menjuarai Piala Dunia 2014. Mungkin ada pengaruh Guardiola di negara tempat dia menjadi jurulatih.
Jadi, penyokong England ada sebab untuk berkata football is coming home tahun ini.
NAK JUARA ? MASUK POT 1/A
Sejarah menceritakan, juara sejak tahun 1994 sehingga 2014 semuanya berasal dari pot pertama
semasa undian. Tidak kesah berapa kedudukan ranking, asalkan berjaya menjadi pasukan pilihan, maka ada peluang untuk juara. Jadi, selepas Jerman dan Poland dari pot 1 tersingkir, maka ada 6 negara yang berpeluang mengintai piala berprestij ini.
Maaf penyokong England, negara anda bukan masuk dalam pot 1 semasa undian.
MALANG BAGI YANG MENYINGKIRKAN BAKAL JUARA TAHUN BERIKUTNYA
Entah suratan atau kebetulan, negara yang menyingkirkan bakal juara di edisi akan datang, maka
mereka tidak melepasi peringkat kumpulan sementara lawan mereka menjulang piala. Mungkin agak
pelik, tapi
• 1994, Perancis gagal layak ke Piala Dunia. Di peringkat kelayakan, Sweden dan Bulgaria menyingkirkan Perancis. 1998, Sweden gagal layak ke Piala Dunia dan Bulgaria di tempat tercorot kumpulan, sementara Perancis menjadi juara.
• 1998, Brazil dikalahkan oleh Perancis. 2002, Perancis di tempat tercorot kumpulan dan Brazil menjadi juara.
• 2002, Itali dikalahkan oleh Korea Selatan. 2006, Korea Selatan di tempat ketiga kumpulan dan Itali menjadi juara.
• 2006, Sepanyol dikalahkan oleh Perancis. 2010, Perancis di tempat tercorot kumpulan dan Sepanyol menjadi juara.
• 2010, Jerman dikalahkan oleh Sepanyol. 2014, Sepanyol di tempat ketiga kumpulan dan Jerman menjadi juara.
Jadi, mungkin peluang Uruguay (kalah dengan Costa Rica edisi lepas), Portugal, Perancis, Brazil atau Argentina (kesemuanya kalah dengan Jerman edisi lepas) untuk membalas dendam edisi kali ini untuk menjadi juara, selepas Costa Rica dan Jerman tersingkir.
Adakah ini semua suratan dan kebetulan, ataupun sejarah mungkin berulang …
Nota: Artikel tentang 20 fakta ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: La Roja Dibaham Sbornaya, Addios Amigos!