Tan Cheng Hoe Berdepan Cabaran Sukar
- Harimau Malaya
- Mar 4, 2018
- No comment
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka akan berdepan cabaran yang sukar untuk mengembalikan maruah dan juga kehormatan skuad kebangsaan yang telah tercalar sebelum ini. Tan Cheng Hoe akan menghadapi perlawanan pertama sebagai pengendali skuad kebangsaan apabila Malaysia akan menentang Lebanon dalam perlawanan kelayakkan Piala Asia 2019 pada 27 Mac nanti. Perlawanan pertama ini dianggap penting kerana ia bakal memberi bayangan kepada taktik dan juga gaya permainan skuad kebangsaan kemudiannya.
Tan Cheng Hoe dilihat bakal memilih muka baharu bagi mewakili skuad senior setelah menyaksikan persembahan cemerlang anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee ketika temasya Piala Asia Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini. Pemain seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Nor Azam Azih dan Adam Nor Azlin dijangka bakal menjadi wajah baru dalam skuad senior. Peminat menjangkakan Tan Cheng Hoe akan memanggil Natxo Insa dan La”Vere Corbin-Ong untuk menyertai skuad senior. Kedua-dua pemain ini dilihat bakal memberi sedikit kelainan di bahagian tengah dan juga pertahanan pasukan negara. Selain Natxo dan Corbin, pemain Felda United, Stuart Wark juga boleh dipanggil oleh Cheng Hoe.
Kami berpendapat Tan Cheng Hoe mampu untuk mengembalikan Malaysia menjadi antara pasukan terbaik di rantau Asia Tengggara. Ini kerana beliau pernah menjadi pembantu kepada Datuk K.Rajagopal sewaktu membimbing pasukan negara pada 2010 hingga 2013. Selain bersama Datuk K.Rajagopal, beliau juga pernah membantu Nelo Vingada mengendalikan skuad kebangsaan sebelum Vingada meletak jawatan tahun lalu. Jadi, sedikit-sebanyak Tan Cheng Hoe sudah mempunyai “asas” tentang bagaimana mengendalikan skuad kebangsaan hasil daripada temph bersama Datuk K.Rajagopal dan Nelo Vingada.
Akhir sekali, kita sebagai peminat harus memberi Tan Cheng Hoe masa dan juga peluang untuk membuktikan bahawa pelantikan beliau sebagai pengendali skuad kebangsaan adalah satu keputusan yang betul. Ya kami pasti anda semua mahukan skuad kebangsaan segera mempamerkan taring di kancah antarabangsa. Tetapi, kita harus bersabar dan letakkan sepenuh sokongan dan juga keyakinan kita untuk Tan Cheng Hoe menghadapi cabaran yang sukar ini. Masanya akan tiba untuk kita kembali menyinar.
Baca Juga:7 Pemain Yang Boleh Dipanggil Menyertai Skuad Kebangsaan