Tan Cheng Hoe Gugurkan 3 Pemain
- Harimau Malaya
- Nov 4, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe hari ini telah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018. Daripada 26 pemain yang dipanggil sebelum ini, Cheng Hoe menggugurkan 3 pemain.
3 pemain yang dimaksudkan ialah Nor Azam Azih, Azzizan Nordin dan Azrif Nasrulhaq. Pengguguran Nor Azam nyata mengejutkan ramai pihak kerana beliau beraksi dengan baik ketika skuad Harimau Malaya menewaskan pasukan Maldives semalam.
Anda boleh lihat senarai penuh 23 pemain di sini.
Ketiadaan Nor Azam Azih bermakna Cheng Hoe hanya membawa seramai 3 pemain tengah iaitu Syamer Kutty Abba, Kenny Pallraj dan Akram Mahinan. Sebelum ini, kehadiran Azam ke dalam pasukan kebangsaan memberi harapan baru kepada peminat untuk melihat bahagian tengah pasukan negara tampil lebih kukuh.
Namun, Tan Cheng Hoe dilihat mempunyai perancangan lain dan beliau tidak memerlukan Nor Azam bagi mengisi bahagian tengah pasukan negara. Tugas untuk merancang gerakan serangan dilihat terletak di bahu Norshahrul Idlan Talaha dengan ketiadaan Azam.
Daripada senarai akhir 23 pemain bagi edisi 2018 ini, lapan pemain berada dalam skuad Harimau Malaya pada edisi 2016 sebelum ini iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.
Apa yang pasti, diharapkan 23 pemain yang dipilih ini menampilkan persembahan terbaik mereka bagi membantu pasukan negara mencabar trofi Piala AFF edisi kali ini. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka bukanlah sekadar pelengkap dan mampu untuk menyumbang sesuatu untuk pasukan.
Malaysia bakal membuka kempen bertemu Kemboja di Phnom Penh pada 8 November sebelum menanti kunjungan Laos di Bukit Jalil pada 12 November.
Selepas itu, Malaysia akan terbang ke Hanoi untuk bertemu Vietnam pada 16 November dan mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Bukit Jalil pada 24 November.
Sepanjang 11 edisi sebelum ini, Malaysia hanya pernah sekali muncul juara pada edisi 2010 ketika Cheng Hoe menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.
Baca Juga: Harimau Malaya Benam Juara Asia Selatan