Tan Cheng Hoe Harap Sumareh Tampilkan Aksi Terbaik
- Harimau Malaya
- Oct 12, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe mahukan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh untuk menampilkan aksi terbaik beliau dan tidak merasa tertekan pada perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka malam ini.
Semua pihak khususnya peminat sudah pasti akan memberikan tumpuan kepada Sumareh memandangkan ini adalah penampilan pertama pemain berusia 26 tahun ini bersama pasukan negara.
“Memang kita harap Sumareh dapat bermain dengan baik kerana mungkin dia akan berasa tertekan kerana harapan peminat terhadapnya terlalu tinggi ketika ini.
“Bukan mudah untuk berdepan situasi itu ketika berada di atas padang, namun saya berharap dia dapat menguruskannya dengan baik ketika berdepan Sri Lanka nanti.
“Saya lihat dia masih mengalami keletihan selepas baru selesai aksi separuh akhir Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya berharap Sumareh akan kembali cergas seperti sedia kala dalam masa terdekat dan pada masa sama, pasukan juga telah menunjukkan beberapa petanda positif,” katanya menurut laporan Kosmo.
Bekas pengendali pasukan Kedah ini juga menyatakan bahawa lebih ramai pemain naturalisasi akan diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan pada masa akan datang.
Dalam skuad kali ini, Cheng Hoe terpaksa membuat pertukaran pada saat akhir apabila tiga pemain iaitu Rawilson Batuil, Nor Hakim Hassan dan Akram Mahinan terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan. Nik Akif dipanggil bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Saya harap semua pemain kali ini dapat mencari satu kombinasi terbaik kerana kita agak ketandusan untuk mencari gol buat masa ini.
“Kami masih cari keserasian meskipun jika dilihat dari segi ranking pihak lawan, mereka tidak begitu baik tetapi saya tetap menganggap ia bukan satu perkara yang mudah,” katanya.
Apa yang pasti, pemain yang diturunkan pada perlawanan malam ini perlu menampilkan aksi terbaik mereka bagi memastikan pasukan negara meneruskan rentak kemenangan.
Setelah menghadapi Sri Lanka, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ini akan kembali ke tanah air bagi menghadapi pasukan Kyrgyztan pada 18 Oktober di Stadium Hang Jebat.
Baca Juga: Ramalan Kesebelasan Utama Pasukan Negara