Tan Cheng Hoe Kekal Kemudi Pasukan Negara ?

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan hari ini akan membuat keputusan sama ada Tan Cheng Hoe kekal selaku ketua jurulatuh pasukan negara atau sebaliknya.

Masa depan pengendali berusia 51 tahun itu menjadi tanda tanya selepas kontrak beliau sebagai pengendali pasukan negara tamat pada 1 Januari lalu. Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih pada 7 Disember 2017 bagi menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan selepas tujuh bulan memegang jawatan tersebut.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pasukan negara sejak dibimbing oleh bekas pembantu kepada Datuk K.Rajagopal ini. Ketika di bawah bimbingan Nelo Vingada, Malaysia gagal untuk mencatat sebarang kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Bukan saja gagal mencatat kemenangan, malah kualiti serta mutu permainan pasukan negara dilihat tidak menunjukkan sebarang peningkatan walaupun dibimbing oleh jurulatih yang kononnya mendapat julukan “The Professor”.

Setelah skuad Harimau Malaya berada dalam keadaan yang kucar-kacir dan tidak menentu, Nelo kemudiannya mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan pembantu beliau, Tan Cheng Hoe diberi tanggungjawab untuk membina semula pasukan negara.

Setahun kemudian, Cheng Hoe bukan saja menepati sasaran yang ditetapkan oleh FAM ketika melantik beliau sebagai ketua jurulatih iaitu membawa skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 namun beliau berjaya menrtapkan corak permainan yang menarik sekaligus meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

Malaysia dilihat lebih berbahaya dari segala aspek berbanding setahun sebelumnya dan corak permainan yang ditampilkan oleh para pemain lebih meyakinkan. Campuran antara pemain muda dan pemain senior yang digunakan oleh Cheng Hoe juga menjadi.

Apa yang penting, Tan Cheng Hoe perlu kekal mengemudi Harimau Malaya kerana peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan ketika ini perlu diteruskan. Selain mengekalkan Cheng Hoe, FAM juga boleh memperkasakan lagi barisan kejurulatihan dengan menambah tenaga jurulatih atau menghantar jurulatih sedia ada menghadiri kursus bagi meningkatkan lagi pengetahuan mereka.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Dalam Radar Perlis Northern Lions

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *